Hampir setengah juta kanak-kanak terima dos pertama vaksin

Seramai 454,194 kanak-kanak berusia lima hingga di bawah 12 tahun telah menerima dos pertama vaksin Covid-19, menerusi PICKids yang dilancarkan sejak 3 Februari lalu.

Semalam sahaja seramai 70,792 kanak-kanak menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 itu, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kajian Multi-System Inflammatory Syndrome Covid-19 (MIS-C) Malaysia mendapati sebanyak 174 kes telah dikenal pasti di Malaysia dan 57 peratus daripada adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.

MIS-C adalah salah satu penyakit yang serius akibat jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak. Walaupun ianya jarang berlaku, namun MIS-C ini boleh membawa bahaya dan maut, katanya.

Katanya, sejumlah besar dari kanak-kanak ini memerlukan rawatan kritikal di unit rawatan rapi pediatrik (PICU) dengan tujuh kes telah disahkan meninggal dunia.

Sehubungan itu beliau menggesa ibu bapa supaya mendapatkan segera vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak dalam usia berkenaan.

“Vaksin comirnaty untuk kanak-kanak ini menggunakan formulasi yang selamat dan dos yang bersesuaian untuk kanak-kanak dalam lingkungan umur tersebut,” katanya.

Sementara itu, daripada lebih 59.88 juta dos vaksin Covid-19 yang diberikan kepada populasi dewasa, sebanyak 97.5 peratus atau 22,943,785 individu telah lengkap divaksinasi.

Manakala 23,220,757 atau 98.7 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 13,924,411 atau 59.2 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.

Bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, seramai 2,798,646 atau 89.9 peratus telah lengkap divaksinasi.

Sebanyak 92.6 peratus atau 2,883,444 remaja lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Keseluruhannya sejak PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu hingga semalam, lebih 66.0 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi Malaysia, termasuk rakyat asing.

Daripada jumlah itu, 25,742,431 atau 78.8 peratus telah lengkap divaksinasi, dan 26,558,395 atau 81.3 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos.

BERITA BERKAIT
POPULAR