Hampir setengah juta kanak-kanak telah lengkap 2 dos vaksin Covid-19

Jumlah kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang menerima suntikan vaksin Covid-19 kini semakin meningkat, dengan semalam sahaja sebanyak 53,515 dos vaksin telah diberikan kepada golongan itu.

Daripada jumlah itu, seramai 43,380 kanak-kanak menerima dos kedua, manakala 10,135 lagi menerima dos pertama.

Sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) dilancarkan Februari lalu hingga semalam, 412,026 atau 11.6 peratus daripada golongan itu telah lengkap divaksinasi, manakala 1,412,867 atau 39.8 peratus lagi menerima dos pertama.

Sementara itu, seramai 2,873,414 atau 92.4 peratus daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah lengkap menerima dua dos, manakala 2,974,984 atau 95.7 peratus lagi menerima dos pertama.

Belum ada remaja pada usia berkenaan yang menerima dos penggalak, walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan dos ketiga itu akan ditawarkan kepada remaja berisiko tinggi yang mengalami gangguan imunokompromi yang sederhana dan teruk.

Dos penggalak untuk remaja juga akan ditawarkan kepada mereka yang mempunyai kanser, pesakit pemindahan organ yang akan menjalani terapi, dan pesakit hemodialisis atau dialisis peritoneal jangka panjang.

Dalam pada itu, seramai 15,974,034 atau 67.9 peratus individu dewasa telah menerima dos penggalak.

Selain itu, 22,960,906 atau 97.6 peratus individu dewasa telah menerima dua dos vaksin Covid-19, manakala 23,238,026 atau 98.8 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sejak PICK bermula 24 Februari tahun lalu, sebanyak 69,633,398 dos vaksin telah diberikan kepada populasi di Malaysia, termasuk rakyat asing.

BERITA BERKAIT
POPULAR