Hampir setengah juta individu terima dos penggalak

Kementerian Kesihatan memaklumkan seramai 492,054 individu yang layak telah menerima suntikan dos penggalak masing-masing sejak program itu bermula pertengahan bulan lalu sehingga semalam.

Daripada jumlah itu 20,365 individu menerima suntikan itu semalam, lapor KKM menerusi laman sesawang COVIDNOW, hari ini.

Dos penggalak diberikan hanya kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas, dan anggota barisan hadapan yang menerima dos lengkap sekurang-kurangnya enam bulan lalu.

Pada masa sama KKM juga memaklumkan sebanyak 95.8 peratus atau 22,417,059 individu dewasa telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sehingga semalam.

Dalam kemas kini harian Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) KKM memaklumkan 97.8 peratus atau 22,893,173 individu dewasa lagi melengkapkan sekurang-kurangnya satu dos daripada vaksin dua dos atau vaksin dos tunggal.

Keseluruhannya, 45,630,605 dos telah diberikan kepada golongan itu sejak 24 Februari lalu hingga semalam.

Sementara itu, 70.2 peratus atau 2,208,399 remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan masing-masing sejak PICK Remaja dilancarkan 20 September lalu sehingga semalam.

Seramai 2,623,303 remaja atau 83.4 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, menjadikan keseluruhannya lebih 4.83 juta remaja telah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Secara keseluruhannya sebanyak 50,462,307 dos vaksin diberikan kepada populasi Malaysia yang layak.

Jumlah itu termasuk 75.4 peratus atau 24,625,458 individu lengkap divaksinasi, dan 78.1 peratus atau 25,516,476 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

BERITA BERKAIT
POPULAR