Hampir dua juta dos vaksin Covid-19 sudah diberi kepada kanak-kanak

Seramai 532,317 atau 15.0 peratus kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaaan Kanak-Kanak (PICKids), yang dilancarkan sejak 3 Februari lalu hingga semalam.

Berdasarkan laman sesawang CovidNOW, seramai 1,435,586 kanak-kanak dalam kumpulan sama atau 40.4 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sehingga semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) telah memberikan 1,967,903 dos vaksin kepada golongan itu.

Data juga menunjukkan dalam tempoh minggu ini, seramai 4,484 kes Covid-19 melibatkan kanak-kanak dalam lingkungan umur lima hingga 11 tahun. Minggu lalu, dua kanak-kanak pada usia ini meninggal dunia akibat Covid-19.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, seramai 2,879,410 atau 92.5 peratus telah lengkap menerima dua dos, manakala 2,980,286 atau 95.7 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Minggu ini, 6,916 kes baharu melibatkan remaja pada usia berkenaan.

Sementara itu, seramai 15,991,811 atau 68.0 peratus daripada populasi dewasa telah menerima suntikan dos penggalak pertama, sejak dilancarkan Oktober tahun lalu.

Sejak PICK dilancarkan pada 24 Februari 2021 hingga semalam seramai 22,962,624 atau 97.6 peratus individu dewasa telah menerima dua dos vaksin Covid-19, manakala 23,239,599 atau 98.8 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Keseluruhannya hampir 70 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi di Malaysia termasuk rakyat asing, dengan 80.8 peratus daripadanya menerima dua dos dan 84.7 peratus menerima sekurang-kurangnys satu dos.

Menurut laman Github KKM, daripada 6,968 jangkitan baharu Covid-19 semalam 3,991 melibatkan individu yang telah menerima suntikan dos penggalak, manakala 1,817 kes (penerima dua dos); 815 kes (individu tidak divaksinasi); dan 345 (belum lengkap divaksinasi).

Sementara daripada 16 kematian yang direkodkan semalam akibat Covid-19, tujuh daripadanya membabitkan individu tidak divaksinasi; enam (menerima dua dos); dan tiga (penerima dos penggalak).

BERITA BERKAIT
POPULAR