Hampir 8.35 juta dos vaksin sudah diberikan setakat semalam

Sebanyak 8,346,697 dos vaksin sudah diberikan kepada orang ramai menerusi suntikan pertama dan kedua di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), sehingga semalam.

Mengikut data yang dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) sehingga jam 11.59 malam tadi, jumlah dos pertama yang diberikan adalah 5,952,815, manakala dos kedua pula sebanyak 2,393,882.

Jumlah kumulatif pemberian dos vaksin Covid-19 di Sarawak adalah yang tertinggi iaitu membabitkan 1,116,727 penerima dos pertama dan 252,496 bagi suntikan kedua.

Pemberian dos pertama di Kuala Lumpur hampir mencapai 60 peratus daripada populasinya bagi suntikan pertama yang membabitkan 1,056,002 dos, dan 209,165 dos kedua.

Di Selangor, 993,032 individu menerima suntikan dos pertama dan 318,774 dos kedua, diikuti Johor 457,921 (dos pertama) dan 256,096 (dos kedua)

Semalam sahaja sebanyak 263,012 dos vaksin diberikan kepada penerima di seluruh negara, sekali gus menjadi kadar suntikan vaksin kedua tertinggi yang pernah dicatatkan di negara ini dalam tempoh 24 jam.

Kadar suntikan vaksin tertinggi pernah direkodkan ialah pada 24 Jun lalu, iaitu 268,604 dos sehari.

JKJAV menerusi infografik yang dimuat naik di Twitter hari ini memaklumkan sebanyak 178,148 dos pertama vaksin diberikan kepada penerima semalam, manakala 84,864 suntikan bagi dos kedua.

Berdasarkan perangkaan keseluruhan, prestasi PICK yang kini memasuki bulan kelima sejak mula dilaksanakan Februari lalu turut menyaksikan seramai 2,393,882 orang atau 7.3 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia sudah menerima dua dos suntikan lengkap vaksin.

Data sehingga 11.59 malam 1 Julai 2021.

Sekiranya meneliti petunjuk digariskan Pelan Pemulihan Negara, Perlis serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sudah mencapai satu daripada tiga prasyarat untuk beralih ke fasa kedua.

Ini kerana liputan vaksin lengkap dua dos di Perlis setakat semalam mencecah 16.3 peratus daripada populasi penduduk, Kuala Lumpur (11.8 peratus), Putrajaya (25.4 peratus) dan Labuan (16.4 peratus).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam dilaporkan berkata peralihan di antara fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan dibuat mengikut pencapaian pada peringkat negeri dalam memenuhi setiap petunjuk yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Berdasarkan Pelan Pemulihan Negara, peralihan daripada fasa satu kepada fasa kedua perlu mencapai nilai ambang tiga petunjuk, iaitu jangkitan harian kurang 4,000 kes, kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan liputan vaksin bagi populasi yang menerima dos lengkap ialah 10 peratus.

BERITA BERKAIT
POPULAR