Hampir 32 juta dos vaksin diberikan sejak Februari hingga semalam

Lebih 100 peratus peratus populasi dewasa di Lembah Klang dan Wilayah Persekutuan Labuan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan Februari lalu.

Sebanyak 92.4 peratus lagi populasi dewasa di Labuan telah melengkapkan dos kedua masing-masing, manakala 85.2 peratus pula direkodkan di Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Mengikut data yang dikongsi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) umumnya 101.4 peratus populasi dewasa di Labuan, dan 109.3 peratus populasi dewasa di Lembah Klang telah menerima suntikan dos pertama.

Menurut JKJAV peratusan itu melebihi 100 peratus kerana statistik kependudukan Jabatan Perangkaan Malaysia tidak mengambil kira perubahan populasi sejak banci akhir dijalankan, penduduk tanpa dokumen serta vaksinasi yang diberi kepada penduduk tanpa dokumen dan golongan bukan pemastautin.

Secara keseluruhan sehingga semalam hampir 32 juta dos suntikan vaksin Covid-19 diberikan di seluruh negara membabitkan lebih 18.47 juta dos pertama dan lebih 13.3 juta dos kedua.

Semalam sahaja sebanyak 396,578 dos suntikan diberikan membabitkan 150,469 penerima dos pertama dan 246,109 penerima melengkapkan dos kedua masing-masing.

Ops Lonjakan Kapasiti Lembah Klang juga telah berjaya memvaksinasi hampir keseluruhan penduduk di Lembah Klang dengan sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Susulan ini, beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lembah Klang telah dan akan ditutup secara berperingkat.

Senarai PPV yang ditutup secara berperingkat mulai 23 Ogos 2021.

BERITA BERKAIT
POPULAR