Hampir 30 juta dos vaksin sudah diberikan sehingga semalam

Hampir 30 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan di seluruh negara sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan sejak Februari lalu sehingga semalam.

Daripada jumlah itu 54.5 peratus daripada populasi Malaysia menerima lebih 17.8 juta dos suntikan pertama, manakala 37 peratus lagi penduduk menerima lebih 12 juta dos kedua.

Menurut data dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) hari ini, sehingga semalam 76.1 peratus populasi dewasa negara telah menerima dos pertama, manakala 51.6 peratus lagi melengkapkan dos kedua masing-masing.

Berdasarkan peratusan vaksinasi, setakat ini, sebanyak 90.2 peratus populasi dewasa di Wilayah Persekutuan Labuan telah melengkapkan suntikan vaksin masing-masing, manakala 99.6 peratus lagi telah menerima dos pertama.

Sementara itu, Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan jumlah pemberian vaksin tertinggi iaitu sebanyak lebih 11.27 juta dos membabitkan 6.58 juta dos pertama dan hampir lima juta dos kedua.

Ini bermakna kira-kira 78.1 peratus daripada populasi di Lembah Klang telah menerima dos pertama vaksin Covid-19, manakala 55.8 peratus lagi melengkapkan dos kedua masing-masing.

Sementara itu, semalam sahaja sebanyak 517,692 dos vaksin Covid-19 diberikan di seluruh negara membabitkan 180,810 dos pertama dan 226,882 dos kedua.

Jumlah penerima suntikan vaksin Covid-19 paling rendah direkodkan semalam adalah di Wilayah Persekutuan Labuan dengan hanya 42 penduduk menerima suntikan pertama dan 151 lagi melengkapkan dos kedua.

Sementara itu laporan menyebut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) mengarahkan 29 pusat pemberian vaksin (PPV) di di sembilan daerah di Selangor ditutup mulai bulan ini hingga September.

Keputusan itu dikatakan dibuat setelah 76.2 peratus individu dewasa di Lembah Klang sehingga semalam telah menerima vaksin sepenuhnya. Bagaimanapun sehingga kini Mosti belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung penutupan itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR