Hampir 14.8 juta vaksin sudah diberikan, semalam kedua tertinggi

Data 19 Julai 2021

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) merekodkan jumlah tertinggi kedua apabila semalam sebanyak 424,936 dos suntikan vaksin Covid-19 diberikan di seluruh negara bagi kedua-dua dos – pertama dan kedua.

Angka itu menjadikan keseluruhan pemberian vaksin sejak dimulakan Februari lalu kini mencapai 14,772,221 dos suntikan.

Sebelum ini pada 14 Julai lalu, negara merekodkan jumlah tertinggi pemberian vaksin harian sebanyak 434,828 dos suntikan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataan hari ini berkata daripada jumlah pemberian semalam, 282,108 individu menerima suntikan dos pertama manakala 142,830 lagi melengkapkan suntikan dos kedua masing-masing.

Katanya enam negeri merekodkan jumlah pemberian vaksin tertinggi didahului Selangor dengan 114,556 dos membabitkan 88,025 bagi suntikan pertama dan 26,531 dos kedua.

Negeri lain yang merekodkan pemberian vaksin tertinggi ialah Kuala Lumpur sebanyak 80,357 suntikan (55,695 dos pertama dan 24,662 doa kedua); dan Sarawak sebanyak 54,686 suntikan (16,128 dos pertama dan 38,558 dos kedua).

Turut mencatat pemberian tertinggi ialah Johor dengan 26,852 suntikan (22,882 dos pertama dan 3,970 dos kedua); Pulau Pinang sebanyak 22,415 suntikan (14,379 dos pertama dan 8.036 dos kedua); dan Negeri Sembilan dengan 16,878 suntikan (12,020 dos pertama dan 4,858 dos kedua).

Secara keseluruhan sehingga semalam, 10,097,841 individu menerima suntikan dos pertama, manakala 4,674,380 melengkapkan dos kedua masing-masing.

Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan jumlah tertinggi dengan 4,011,589 menerima dos pertama dan 1,279,304 melengkapkan dos kedua.

POPULAR