Hampir 1,200 pesakit Covid-19 penuhi ICU, kata Dr Noor Hisham

Jumlah kes Covid-19 yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) termasuk yang disahkan, dalam siasatan dan sedang menunggu keputusan, telah mencecah hampir 1,200 kes, tertinggi dicatatkan sejak pandemik bermula tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga menjangkakan jumlah pesakit yang memerlukan rawatan di ICU akan bertambah seiring peningkatan kes baharu harian sekarang ini yang telah mencecah lebih 9,000 kes.

Sehubungan itu, katanya, KKM telah menambah kapasiti katil ICU untuk pesakit Covid-19 secara berfasa sejak gelombang kedua pandemik bermula.

“Terkini, dalam tempoh tiga minggu bulan Mei 2021 sebanyak 439 katil tambahan telah dapat disediakan. Secara keseluruhannya, jumlah katil ICU yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19 (confirmed / suspected / probable) buat masa ini telah mencapai 1,114 katil.

“Kebanyakan katil ICU buat masa ini digunakan untuk pesakit Covid-19, lantas menyebabkan peluang pesakit bukan Covid-19 yang lain untuk menerima rawatan rapi lebih tipis

“Keadaan ini sememangnya amat menggusarkan terutama buat petugas kesihatan dan pesakit-pesakit bukan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, walaupun jumlah katil ICU untuk pesakit Covid-19 telah ditambah, kadar penggunaannya masih pada tahap melebihi 100 peratus, menyebabkan ada pesakit yang terpaksa dirawat di wad-wad biasa.

Beliau berkata, KKM juga berusaha mengenal pasti lebih banyak ruang di dalam hospital untuk ditukar fungsi sebagai katil ICU dan menyediakan peralatan perubatan serta kelengkapan lain yang diperlukan.

“Hospital Medan ICU di Hospital Kepala Batas serta cadangan pengambilmilikan sementara Hospital Pakar Kanak-kanak UKM juga adalah antara langkah meningkatkan kapasiti ICU seterusnya.

Walaupun berdepan cabaran khususnya berkaitan sumber tenaga manusia, namun Dr Noor Hisham berkata yugas ramai kakitangan telah disusun semula bagi menguruskan pandemik Covid-19.

“Anggota KKM daripada pelbagai kategori termasuklah pakar bedah di beberapa hospital telah pun dikerahkan untuk perawatan pesakit Covid-19,” katanya.

Beliau terus mengingatkan orang ramai supaya bersama-sama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan duduk di rumah dan hanya keluar jika ada urusan penting, bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

BERITA BERKAIT
POPULAR