Hampir 10,000 penduduk Kelantan gagal hadir terima vaksin Covid-19

Kebanyakan mereka yang tidak hadir menerima vaksin memberi alasan masalah kesihatan, hal peribadi dan menunda ke tarikh lain.

Hampir 10,000 penduduk Kelantan, terutama warga emas yang berusia 60 tahun ke atas didapati gagal hadir untuk menerima vaksin Covid-19 pada tarikh yang ditetapkan, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Zaini Hussin.

Memetik laporan Malaysiakini, beliau berkata, kebanyakan mereka yang tidak hadir itu memberi alasan masalah kesihatan, hal peribadi dan menunda ke tarikh lain.

“Selain itu ramai juga yang tidak memaklumkan sebarang alasan kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Kesemua yang tidak hadir mendapat suntikan vaksin ini adalah mereka yang berdaftar bagi fasa kedua.

“Kita bila dapat senarai sehari atau dua hari sebelum, pihak kita akan menghubungi setiap orang sama ada mereka boleh hadir atau tidak pada masa yang ditetapkan,” katanya hari ini.

Kelantan hari ini mencatatkan 451 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi.

Dr Zaini mendedahkan ada juga kes yang gagal dihubungi dan tidak menjawab panggilan pemberitahuan janji temu untuk menerima vaksin.

“Bukan 100 peratus kita dapat hubungi kerana terlalu ramai yang mendaftar di aplikasi MySejahtera dan ada juga dalam kalangan mereka yang tidak menjawab panggilan,” katanya.

Beliau mengingatkan mereka yang mahu menunda tarikh atau lokasi PPV perlu menghubungi hotline MySejahtera untuk berbuat demikian.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri akan menghubungi orang lain untuk menerima vaksin sekiranya individu yang telah dijadualkan untuk menerima vaksin tidak hadir pada tarikh yang telah ditetaokan.

“Setakat ini, kami membuka PPV di Kota Bharu, Pasir Putih, Jeli, Machang, Kuala Krai dan Bachok. Sehingga semalam, lebih 340,000 individu mendaftarkan melalui MySejahtera dan jumlah berkenaan masih rendah,” katanya.

POPULAR
Cemas tertukar bayi di hospitalJune 13, 2021
Malaysia sedang bangunkan dua vaksin Covid-19 sendiriJune 12, 2021
Polis tahan lori bawa 48 pekerja kilang proses ayam positif Covid-19June 14, 2021
Masjid tak ditutup, aktiviti hanya ditangguh, kata Mufti KelantanJune 13, 2021
Agong yakin langkah kerajaan tadbir negara, tangani Covid-19June 13, 2021
PM yakin Kuala Lumpur capai imunisasi kelompok menjelang 31 OgosJune 13, 2021