Hakim tolak penangguhan, prosiding Najib memasukkan bukti baharu diteruskan

Mahkamah Rayuan memerintahkan prosiding permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuannya membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) yang bakal diputuskan Mahkamah Rayuan esok.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menerusi aplikasi Zoom.

Terdahulu, Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sekali lagi memohon Mahkamah Rayuan untuk menangguhkan prosiding pendengaran permohonan itu.

Beliau berkata, pembelaan tidak bersedia untuk meneruskan hujahan kerana semua dokumen masih berada di firma guaman dan persediaan menyediakan hujahan petang semalam turut terjejas berikutan seorang peguam disahkan positif Covid-19.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram membantah permohonan penangguhan dengan menyatakan pendakwaan bersedia meneruskan prosiding dengan hujahannya.

Panel hakim memutuskan meneruskan prosiding dengan Sithambaram memulakan hujahan bagi pihak responden.

Pagi tadi, mahkamah memberikan kata dua kepada bekas Perdana Menteri dan peguamnya untuk hadir melalui aplikasi Zoom atau wang jaminan boleh dibatalkan dan waran tangkap dikeluarkan terhadap Najib.

Ketidakhadiran bekas Presiden UMNO itu di Mahkamah Rayuan untuk mendengar permohonan dikemukakannya sendiri menimbulkan rasa kurang senang panel hakim yang sepatutnya meneruskan prosiding berhubung kes SRC.

Malah peguamnya, Harvinder Singh Sidhu juga ditegur dengan tegas oleh Hakim Abdul Karim kerana memberi alasan tidak mengetahui keberadaan anak guamnya itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR