Hakim tidak berat sebelah dalam kes Najib, kata pendakwa

April 22, 2021 · Isu semasa

Tiada kerugian bagi pihak Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd apabila Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali hanya memberikan poin utama apabila beliau mengarahkan bekas perdana menteri itu membela diri, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini, lapor Bernama.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk V. Sithambaram menjelaskan di bawah undang-undang, hakim bicara tidak perlu memberi alasan dalam keputusan lisannya apabila mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud kes prima facie dan memerintahkan tertuduh membela diri.

“Pendapat yang menyatakan perayu (Najib) telah diprejudis kerana tidak dapat membentangkan pembelaannya dengan betul atau mengemukakan alasan yang hilang itu, adalah tidak berasas.

“Dihujahkan bahawa ketidakadilan tidak berlaku kerana semua aturan prosedur dan bukti telah diikuti dalam perbicaraan ini,” katanya.

Sithambaram berhujah demikian di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dalam prosiding rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana penyalahgunaan dana SRC International sebanyak RM42 juta.

Turut bersidang Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

“Yang Arif, tugas pihak pembelaan adalah untuk menjawab keseluruhan kes pendakwaan dan bukannya menangkis penemuan prima facie hakim bicara,” kata Sithambaram.

Beliau menegaskan memerintahkan tertuduh membela diri berdasarkan keputusan lisan bukanlah penghakiman.

“Tidak wujud dua penghakiman, tetapi hanya satu apabila tertuduh sama ada dibebaskan atau disabitkan dengan pertuduhan jenayah,” katanya sambil menambah dakwaan pembelaan bahawa tertuduh dinafikan perbicaraan yang adil adalah satu hujah yang terdesak.

Bernama turut melaporkan Sithambaram berkata, jika hujah pembelaan diterima, tiada hakim bicara pada masa akan datang yang akan memberi alasan secara lisan atau bertulis untuk memerintahkan tertuduh membela diri.

“Dalam kes kami, hakim bicara memberikan poin penting untuk memerintahkan Najib membela diri bagi kesemua pertuduhan, walaupun beliau tidak dikehendaki berbuat demikian. Ia adalah bonus bagi pihak pembelaan untuk mendapat beberapa poin bagi pembelaan Najib, tetapi mereka tetap merungut,” kata Sithambaram sambil menambah sebagai peguam, beliau akan gembira jika mendapat petunjuk mengapa anak guamnya perlu membela diri.

Beliau juga berkata dakwaan pihak pembelaan bahawa Hakim Mohd Nazlan berat sebelah dalam perbicaraan itu adalah ‘sama sekali tidak berasas’.

“Tuduhan peguam utama pihak pembelaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, baik di dalam atau di luar mahkamah bahawa hakim itu berat sebelah mengendalikan kes pihak pembelaan. Bermaksud bahawa hakim bicara berat sebelah dengan menyebelahi pihak pendakwaan.

“Yang Arif, ini adalah tuduhan yang sangat serius. Saya menyokong penghakiman itu yang menunjukkan tuduhan terhadap hakim tersebut adalah tidak berasas berdasarkan bukti yang telah dikemukakan. Sama sekali tidak wajar. Tiada asas untuk mengatakan hakim itu (bertindak sebagai) ‘pendakwa kedua’ atau tidak cekap atau menunjukkan ketidakcekapan.

“Ringkasan (oleh pihak pendakwaan hari ini) dibuat untuk menyelamatkan integriti alasan penghakiman, dan dalam konteks yang lebih luas untuk memastikan pentadbiran keadilan yang sewajarnya tidak tercemar. Ini adalah kes penting yang diikuti orang ramai dan orang yang membaca (berita perbicaraan) mungkin berfikir hakim berat sebelah dan tidak cekap tanpa asas.

“Perayu atau pembelaan telah menyerang hakim. Adalah penting bagi pihak pendakwaan untuk membuat hujahan ini kerana hakim tidak dapat membela diri terhadap tuduhan yang dilontarkan terhadapnya,” katanya.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan melibatkan CBT, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana milik SRC International.

Pendengaran rayuan itu bersambung.

Berita berkaitan
Permohonan Rosmah cuba singkir lagi Sri Ram didengar 6 Julai
11 jam lalu· Isu semasa
Kes Guan Eng, saksi tak tahu berapa kali rasuah dibayar
June 28, 2022· Isu semasa
Mahkamah tangguh keputusan kes rogol amah ADUN Tronoh
June 28, 2022· Isu semasa
Keputusan kes rasuah Bung Mokhtar dan isteri diketahui 2 September ini
June 24, 2022· Isu semasa
Popular
Lokman dituduh hina mahkamah ketika prosiding kes Zahid berjalan
June 30, 2022
Zahid dakwa tertekan, tak nafi guna dana YAB bayar kad kredit
June 30, 2022
Zahid diingat jaga sikap, mahkamah bukan kedai kopi, MT UMNO
June 30, 2022
Bank saman bekas presiden, 17 lagi isu pinjaman RM400 juta: Laporan
June 29, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Lesen pengilang enggan beli sawit, jejas minyak masak digantung
3 jam lalu · Isu semasa
JPA kaji waktu kerja 4 hari seminggu
3 jam lalu · Isu semasa
SRC: 29 Julai pengurusan kes Najib jawab afidavid pendakwaaan
3 jam lalu · Isu semasa
APMM aktifkan operasi cari bot bawa 13 pemancing, kru
3 jam lalu · Isu semasa
Agihan pendapatan ASB 3 Didik 4.25 sen
6 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Marah disaman tiada lesen, langgar kereta JPJ sehingga terbalik
4 jam lalu
[VIDEO] Presiden parti politik dalang ‘kad kebal’ warga asing
9 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok