
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah puluhan juta ringgit.
Mahkamah Tinggi menegur anak Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah berhubung komen dalam media sosial berhubung perbicaraan kes bapanya yang sedang berjalan ketika ini.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memberi amaran tersebut selepas Timbalan Pendakwaraya, Datuk Raja Rozela Raja Toran memaklumkan anak perempuan Presiden UMNO itu mengeluarkan satu kenyataan di akaun Instagram miliknya berhubung kes mahkamah tersebut.
“Mahkamah akan mengeluarkan peringatan kerana tindakan ini bersifat subjudis. Komen seperti itu tidak boleh dibuat semasa kes itu sedang berjalan,” katanya di Mahkamah Tinggi hari ini.
Terdahulu, Raja Rozela berkata pihak pendakwaan percaya Nurulhidayah mengeluarkan kenyataan berhubung isu imuniti semalam dalam akaun Instagramnya, ‘nurul.zahid’.
“Kami percaya penulisnya adalah anak perempuan Zahid. Komen tersebut tidak berasas dan prejudis. Ia tidak adil kepada pendakwaan kerana kes masih berjalan.
“Saya bukan mahu memulakan dengan memperlekehkan prosiding tetapi ia adalah mencukupi untuk memaklumkan kepada orang ramai untuk tidak mengulas mengenai prosiding,” katanya kepada mahkamah.
Susulan itu, peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Zahid tampil memohon maaf kepada mahkamah, selain akan meminta Nurulhidayah memadam kenyataan yang dibuatnya.
Terbaharu, Nurulhidayah dalam kemas kini di Instagram nurul.zahid turut membuat permohonan maaf kepada mahkamah susulan kenyataan imuniti membabitkan kes perbicaraan bapanya, yang dimuat naik pada Selasa.
“Ia tidak akan berlaku lagi. Selamat maju jaya kepada kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan,” tulisnya dalam kemas kini tersebut, hari ini.
Semakan di laman Instagram juga mendapati Nurulhidayah telah memadam kemas kini tersebut sejurus selepas teguran tersebut.
Kenyataan itu dipercayai menyusul selepas peguam Hisyam Teh Poh Teik memberitahu Mahkamah Tinggi pada Selasa bahawa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sepatutnya diberi imuniti daripada didakwa kerana semua maklumat mengenai transaksi berkaitan Yayasan Akalbudi yang dikendalikan keluarganya didedahkan oleh Zahid.
Hisyam berkata tertuduh menuntut imuniti daripada pendakwaan mengikut Seksyen 30 (7) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pihak pembelaan hari ini menyambung hujah pembelaan melibatkan perbicaraan Zahid, 68 tahun, yang menghadapi 47 tuduhan iaitu 12 membabitkan pecah amanah (CBT), lapan pertuduhan rasuah dan 27 atas dakwaan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.