Hakim tak sihat: Kes Bung Moktar, Zizie Izette ditangguh

Perbicaraan kes rasuah membabitkan Ahli Parlimen UMNO Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, ditangguhkan ke 9 Mei berikutan hakim yang mendengar kes tersebut tidak sihat.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How ketika sebutan kes di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Hakim Rozina Ayob (yang mendengar perbicaraan kes ini) tidak sihat dan beliau telah diberikan cuti sakit (MC) selama seminggu. Oleh itu, kami mohon untuk mendapatkan tarikh lain bagi sambung bicara,” kata Law seperti dilapor Bernama.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan baharu pada 9, 10, 17 dan 18 Mei ini.

Selain Law, pendakwaan turut dikendalikan Mohd Sophian Zakaria dan Maziah Mohaide manakala Bung Moktar dan isterinya diwakili peguam Datuk K Kumaraendran, M Athimulan dan Ridha Abdah Subri.

Pasangan suami isteri itu hadir ke mahkamah hari ini.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk keputusan bantahan dikemukakan pihak pembelaan berhubung aduan dibuat oleh Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Haris Ibrahim, 42, yang didakwa bersifat dengar cakap dan boleh memprejudiskan Bung Moktar.

Menurut Kumaraendran, aduan berkenaan tidak boleh dianggap sebagai laporan maklumat pertama (FIR) kerana ia dibuat berdasarkan maklumat yang diterima daripada seorang pegawai atasan selaku pihak ketiga, bukan daripada pemberi maklumat.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, 64, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab serupa dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

BERITA BERKAIT
POPULAR