Hakim tak arah lebih RM114.1 juta dikembalikan kepada UMNO, Najib

May 20, 2021 · Isu semasa

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini tidak mengarahkan wang yang disita dikembalikan kepada UMNO dan Datuk Seri Najib Razak, namun hakim perbicaraan Datuk Muhammad Jamil Hussin berpendapat ia mesti dipulangkan di tempat ianya disita.

“Pada saya, dari mana wang itu disita, di tempat itulah ia dipulangkan”.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan dibangkitkan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi yang bertanya mengenai status wang disita dalam perbicaraan permohonan untuk melucut hak wang tunai berjumlah RM114 juta, yang disita dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd, yang didakwa milik UMNO dan Najib.

Terdahulu, Muhammad Jamil menolak permohonan pendakwaan selaku pemohon untuk melucut hak wang yang disita oleh polis di Pavilion Residence pada 17 Mei 2018.

Memetik laporan Bernama, Muhammad Jamil dalam penghakimannya berkata pemohon gagal membuktikan wang berjumlah RM114,164,393.44 yang disita adalah hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, status quo wang itu tidak diputuskan apabila hakim itu tidak mengeluarkan sebarang perintah sama ada wang berkenaan, yang kini berada dalam simpanan Bank Negara Malaysia (BNM) perlu dikembalikan kepada pemilik asal.

UMNO dan Najib merupakan pihak ketiga dalam permohonan itu. Mana-mana pihak ketiga yang mendakwa mempunyai kepentingan ke atas barangan yang dirampas boleh hadir di mahkamah untuk mengemukakan alasan mengapa barangan itu tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.

Pada 2019, pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings untuk melucut hak barangan merangkumi 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 aksesori jam tangan, 234 pasang cermin mata serta 306 beg tangan dan wang tunai berjumlah RM114,164,393.44.

Barangan dan wang yang didakwa hasil aktiviti haram yang dikaitkan dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), disita mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Dalam keputusannya, Muhammad Jamil berkata pegawai penyiasat kes pengubahan wang haram iaitu Asisten Komisioner D Rajagopal gagal menunjukkan wang yang disita adalah harta curi atau hasil daripada pecah amanah atau penipuan.

“ACP Rajagopal gagal mendedahkan dan mengenal pasti siapa yang telah diamanahkan dengan wang 1MDB, siapa yang mempunyai penguasaan dominan ke atas wang itu dan menyalahgunakan dana itu selain gagal menjelaskan Najib adalah ejen 1MDB,” katanya.

Beliau berkata mahkamah mendapati pemohon gagal membuktikan kaitan antara wang dalam akaun Ambank milik Najib dengan wang yang disita.

Muhammad Jamil berkata hujahan pendakwaan bahawa Datuk Seri Mohamed Nazir Razak telah menunaikan cek yang dikeluarkan daripada akaun Najib dan mengembalikan RM20 juta kepada Najib sendiri adalah tidak benar.

“Tiada juga keterangan bahawa wang RM20 juta itu diterima oleh Najib adalah sebahagian daripada wang yang disita. Benar, wang yang disita ditemui di Pavilion Residences bersama-sama harta lain yang disita. Najib juga telah menjelaskan bahawa beliau memindahkan wang RM160 juta (jumlah sebenar) dari Seri Perdana ke Pavilion Residences.

“Atas imbangan kebarangkalian, pemohon gagal membuktikan wang yang disita dikaitkan dengan pengubahan wang haram atau hasil daripada aktiviti haram melibatkan pecah amanah jenayah dan kesalahan menerima harta curi. Oleh itu, permohonan pemohon ditolak,” kata hakim itu.

Selepas Muhammad Jamil menyampaikan keputusan, Muhammad Saifuddin kemudiannya bertanya “Apa status duit berkenaan jika tiada perintah (kembalikan wang kepada UMNO, Najib). Kami perlu tahu?

Bagaimanapun, hakim itu menjawab beliau tidak boleh mengarahkan wang yang disita dikembalikan berikutan tidak membuat sebarang perintah mengenai perkara berkenaan.

Muhammad Saifuddin: Wang tunai RM114 juta itu dalam simpanan BNM. Sekiranya tidak mendapat arahan daripada mahkamah, pihak kami perlu memulangkan wang itu kepada siapa? Kami juga memohon untuk penangguhan pelaksanaan keputusan hari ini sementara rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagaimanapun berkata duit berkenaan perlu diserahkan kepada anak guamnya berikutan mahkamah telah menolak permohonan pemohon.

Muhammad Jamil yang menolak permohonan pendakwaan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan hari ini, berkata: “Pada saya, dari mana wang itu disita, di tempat itulah ia dipulangkan”.

Sementara itu, Muhammad Shafee ketika ditemui pemberita berkata pihaknya akan menyerahkan surat kepada pendakwa raya dalam tempoh 24 jam bermula hari ini supaya wang berjumlah RM114 juta dilepaskan kepada Najib dan UMNO.

“Apabila wang tersebut diserahkan, terpulang pada Datuk Seri Najib dan UMNO untuk mengambil bahagian masing-masing seperti mana yang dirampas di Pavilion Residences,” katanya.

Ketika ditanya adakah wang tersebut perlu diserahkan kepada pihak ketiga (Najib dan UMNO) meskipun semasa prosiding hakim tidak membuat sebarang perintah berkenaan serahan wang tersebut, Muhammad Shafee menjawab, “Mereka (pendakwaan) perlu menyerahkan wang itu”.

Berita berkaitan
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024· Isu semasa
Terdapat ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid, kata Tengku Zafrul
April 18, 2024· Politik
Tengku Zafrul letak jawatan bendahari UMNO Selangor, tak sehaluan
April 1, 2024· Politik
DAP Johor bidas tindakan Akmal, boleh jadi benih ekstremisme
April 1, 2024· Politik
Popular
Jalan tertinggi di Malaysia dibuka
January 14, 2022
Bahasa Melayu bahasa rakyat Malaysia
April 9, 2022
Kembalikan deria bau
November 9, 2021
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024
Lagi Isu semasa terkini
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Polis terima satu lagi laporan bom petrol dilempar ke KK Mart
March 30, 2024 · Isu semasa
Senjata api dimiliki warga Israel dibekal warga tempatan: Polis
March 30, 2024 · Isu semasa
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok