‘Hakim mesti bebas, tak takut’

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Setiap hakim perlu kekal bebas dalam memutuskan sesuatu kes tanpa rasa takut atau pilih kasih dan tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak dalaman atau luaran, kata Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata, sebaliknya, kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman untuk memberi keadilan yang tidak berat sebelah adalah asas kepada badan kehakiman.

Justeru, katanya, hakim perlu melaksanakan tugas dengan standard yang tinggi, berintegriti dan berlaku adil dengan memberi peluang kepada semua pihak untuk didengar dan melayan mereka secara adil.

“Jika anda mempunyai pengetahuan mengenai fakta yang dipertikaikan atau mempunyai kaitan dengan mana-mana pihak atau kepentingan dalam hasilnya, anda harus menarik diri daripada menentukan perkara itu, “ katanya merasmikan Program Induksi Pesuruhjaya Kehakiman (JC), di sini, Isnin lalu. Teks ucapannya dikeluarkan kepada media hari ini.

Katanya, hakim mempunyai hak untuk menyoal saksi bagi mendapatkan penjelasan ketika memberi keterangan tetapi tidak boleh melakukan pemeriksaan utama atau pemeriksaan balas dan menyoal saksi sehingga keterlaluan.

Beliau turut menegaskan dalam melaksanakan tugas kehakiman, hakim tidak mempunyai keistimewaan untuk memilih kes dan oleh itu terikat mendengar kes yang menarik perhatian awam atau kes membabitkan tokoh masyarakat.

“Walaupun Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak dan saya bertanggungjawab dalam hal-hal dasar dan memastikan hakim mematuhi dasar sedemikian, kami tidak dalam apa jua keadaan pun mengarah atau menentukan keputusan anda,“ katanya.

Beliau berkata, hakim mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk memutuskan kes mengikut undang-undang dan fakta serta bertanggungjawab mendukung integriti dan kebebasan badan kehakiman.