Hadi disahkan dijangkiti Covid-19, alami gejala ringan

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang disahkan dijangkiti Covid-19 dan dilaporkan mengalami gejala ringan.

Perkara itu disahkan oleh anaknya, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang berkata bapanya ketika ini sedang menjalani kuarantin kendiri dan memohon orang ramai mendoakan agar diberikan kesembuhan yang segera.

“Mohon doa kepada Ayahanda Tuan Guru supaya diberikan kesembuhan segera.

“Beliau telah disahkan positif Covid-19 dan hanya mengalami gejala ringan.

“Kini sedang menjalani kuarantin di rumah dan dalam keadaan baik,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dalam hantaran di Facebook hari ini.

Untuk rekod, tahun lalu, Hadi juga pernah masuk Institut Jantung Negara kerana masalah kesihatan.

Beliau dimasukkan ke wad pada Februari selepas mengalami kesukaran bernafas dan sekali lagi menerima rawatan pada Jun lalu.

Semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Hadi juga dilihat mengehadkan pergerakannya semasa kempen, serta sering muncul dengan bilangan hadirin yang terhad.

BERITA BERKAIT
POPULAR