Guru tak divaksinasi bahayakan murid, rakan sekolah: PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi amaran guru yang tidak mengambil vaksin Covid-19 boleh membahayakan kesihatan pelajar dan rakan setugas di sekolah.

Sehubungan itu beliau menggesa guru yang belum berbuat demikian segera mendapatkan vaksin demi melindungi semua pihak, terutama murid yang akan memulakan sesi pembelajaran bersemuka tidak lama lagi.

Walaupun belum menjadi kewajiban bagi guru untuk mendapatkan vaksin, tetapi mereka berisiko meningkatkan jangkitan kerana bakal bersemuka dengan pelajar ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas kelak, katanya berucap pada Majlis Penyampaian Peranti Komputer Program Cerdik Kementerian Pendidikan Malaysia kepada pelajar Parlimen Bera di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bera Bandar 32 di Bera, hari ini.

Perdana Menteri memberi contoh guru sekolah rendah yang belum mendapat vaksin akan merisikokan murid mereka termasuk rakan-rakan guru.

“Sebab itu Kementerian Pendidikan tegas dalam aspek vaksin ini. Kalau dengan kehadiran kita yang tidak divaksin ini bahayakan orang lain, maka kita sepatutnya ambil tanggungjawab lindungi rakan-rakan yang sama mengajar di sekolah, lebih penting kesihatan murid-murid,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan kekal dengan pendirian untuk memindahkan guru yang enggan menerima vaksin Covid-19 sebaik sesi persekolahan bersemuka dibuka bagi memastikan sesi PdP di sekolah tidak terjejas.

Kementerian itu turut mengesahkan terdapat 2,500 guru di seluruh negara enggan divaksinkan dan pihaknya akan terus mengadakan sesi libat urus bersama mereka untuk memujuk menerima suntikan vaksin.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut mengeluarkan pekeliling mewajibkan penjawat awam mengambil vaksin dan perlu segera melengkapkan imunisasi itu sebelum 1 November ini.

JPA menegaskan penjawat awam yang belum mengambil vaksin selepas tempoh ditetapkan tanpa mendapatkan pengecualian daripada pegawai perubatan kerajaan, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib.

BERITA BERKAIT
POPULAR