Guru rugi RM216,000, dakwa ditipu Macau Scam

Seorang guru wanita mendakwa kerugian RM216,000 selepas diperdaya sindiket penipuan dalam talian Macau Scam yang menyamar sebagai wakil syarikat insurans, sejak bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata guru sekolah rendah berusia 48 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa mangsa ada membuat tuntutan insurans kemalangan namun wanita itu menafikannya.

Pengadu kemudian disambungkan talian ke ‘Balai Polis Pudu’ untuk membuat laporan pembatalan insurans sebelum disambung pula kepada pihak mahkamah kononnya guru tersebut terlibat pula dengan jenayah pengubahan wang haram, katanya, lapor Bernama.

“Pengadu mendakwa telah membuat pinjaman peribadi di dua bank berasingan masing-masing berjumlah RM118,000 dan RM59,000 yang kesemua wang tersebut telah dipindahkan ke akaun sebuah bank milik pengadu pada awal bulan ini kerana diarahkan suspek dengan alasan kononnya untuk memudahkan seliaan dan pemantauan pihak mahkamah.

“Pada 1 Dis lepas, wanita itu telah mendedahkan maklumat akaun banknya semasa berada di rumahnya di Taman Aman, Kampung Bahagia di sini, setelah dihubungi pihak kononnya dari Mahkamah Tinggi yang memperkenalkan diri sebagai ‘Encik Wong’,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Adnan berkata guru tersebut hanya menyedari ditipu setelah dimaklumkan pihak bank yang wang dalam akaun miliknya telah dipindahkan secara berperingkat sebanyak 13 transaksi berjumlah RM216,000 melibatkan wang pinjaman peribadi dari bank dan selebihnya wang simpanan mangsa.

Beliau berkata kesemua transaksi pengeluaran wang milik mangsa di bank tersebut dibuat oleh suspek melalui perbankan dalam talian yang dipindahkan kepada akaun lain iaitu milik dua lelaki (keldai akaun), dipercayai akaun tersebut telah dikawal oleh scammer setelah mangsa mendedahkan maklumat perbankannya.

“Semalam, mangsa telah membuat semakan di kaunter bank tersebut dan mendapati wang simpanan dalam akaunnya telah lesap dan susulan itu, mangsa membuat laporan polis kira-kira 12.30 tengah hari semalam,” katanya.

Ahmad Adnan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

BERITA BERKAIT
POPULAR