
Guru diwajibkan untuk melengkapkan vaksin Covid-19 bagi memastikan keselamatan murid dan rakan sekerja yang lain.
Amaran terakhir diberikan kepada guru yang enggan divaksin Covid-19 sehingga 1 November ini sebelum diambil tindakan Kementerian Pendidikan.
Perkara itu diumumkan Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin yang berkata langkah itu diambil selari dengan keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan penjawat awam patuh kepada pekeliling mewajibkan mereka melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sebelum 1 November atau berdepan tindakan tatatertib.
“Senarai guru yang enggan divaksin turut berubah dan kita terus memantau perkembangan semasa.
“Kumpulan guru enggan divaksin boleh menjejaskan operasi sekolah dan tindakan segera perlu diambil termasuk menukar guru terbabit,” katanya.
Menurut Radzi, selepas pengumuman tersebut berlaku perubahan positif apabila ada guru yang sebelum ini enggan divaksin mengubah fikiran dan setuju menerima dos pertama.
Terdahulu, beliau melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Samariang di sini, hari ini.
Radzi berkata, pertukaran itu perlu dilakukan bagi memastikan pembelajaran murid tidak terjejas, selain memastikan guru yang lengkap divaksin tidak terkesan.
“Sebagai contoh, murid berkeperluan khas memerlukan guru berdamping dengan mereka sepanjang masa.
“Jika ada kalangan guru (mengajar murid berkeperluan khas) enggan divaksin, tentu ia akan menjejaskan operasi sekolah kerana kita berpegang kepada prinsip asas iaitu jika tidak divaksin, tidak boleh mengajar secara bersemuka,” katanya lagi.