
Anwar pertahan kenaikan OPR, tapi Guan Eng pula mengkritik.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) baik untuk menstabilkan kedudukan ekonomi dan inflasi negara.
Kenyataan Perdana Menteri yang mempertahankan langkah kenaikan OPR oleh Bank Negara Malaysia (BNM) itu dilihat bertentangan dengan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mengkritik keputusan tersebut kerana ia hanya menguntungkan sektor perbankan.
Anwar yang juga memegang portfolio Menteri Kewangan berkata wujud salah faham bahawa kenaikan OPR akan menyebabkan inflasi yang lebih tinggi, menurut jawapan di Dewan Rakyat pada 24 Mei 2023.
“Apabila permintaan untuk barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi menjadi terlalu tinggi berbanding bekalan, harga akan cenderung untuk meningkat.
“Kadar OPR yang lebih tinggi akan membantu menyesuaikan permintaan kepada tahap yang lebih setara dengan bekalan seterusnya membantu mengurangkan tekanan terhadap kenaikan harga barangan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Anwar juga mempertahankan keputusan BNM menaikkan OPR yang dilakukan dengan “sangat berhati-hati” walaupun memberi kesan ke atas ansuran bulanan pinjaman.
Beliau berkata jika inflasi menjadi tidak terkawal, kuasa beli bagi semua isi rumah, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah, serta kuasa beli simpanan penabung dan pesara akan merudum akibat kenaikan harga yang mendadak.
“Peningkatan OPR pada Mei bukan bertujuan untuk merencatkan usaha pemulihan ekonomi sebaliknya, ia bertujuan memastikan ekonomi kekal sihat dan berkembang secara mampan, serta inflasi kekal terkawal bagi tempoh masa yang berpanjangan,” katanya.
Pada 3 Mei lalu, BNM menaikan OPR sebanyak 25 mata asas daripada 2.75 peratus kepada 3 peratus.
Terdahulu hari ini, Guan Eng mengkritik BNM kerana menaikkan OPR dan berkata, keputusan itu hanya menguntungkan sektor perbankan.
Pengerusi DAP itu berkata, tiada sebab untuk BNM menaikkan OPR ketika ini apabila inflasi teras mampu dikawal secara perlahan, malah menghentikan kenaikan OPR pada Januari dan Mac apabila kadar inflasi lebih tinggi.