Guan Eng, KM Pulau Pinang gelojoh sampai keluar kata kesat

Perbuatan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menggunakan surat palsu untuk mendapatkan kelulusan Kerajaan Pusat berkaitan tawaran percuma dua juta dos vaksin Sinovac, menunjukkan kelemahan kerajaan negeri di bawah pentadbiran DAP.

Bukan itu sahaja malah, kegelojohan Kon Yeow dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan kesat terhadap Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar, juga menunjukkan kedua-duanya tidak matang, kata Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad.

“Ini menunjukkan bagaimana pemimpin yang tidak matang ini di dalam menguruskan isu-isu yang sangat kritikal terutama sekali yang melibatkan nyawa rakyat Malaysia dan juga rakyat Pulau Pinang.

“Isu ini menampakkan kegelojohan Ketua Menteri Pulau Pinang dan juga Setiausaha Agung DAP sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan kesat berkenaan dengan isu ini,” katanya.

Memetik laporan suara rasmi PAS, Harakah, beliau berkata pendedahan yang dibuat Khairy turut menggambarkan bahawa kerajaan DAP Pulau Pinang gagal membuat kajian mendalam berhubung syarikat palsu yang cuba berurusan dengan mereka hingga tertipu.

Sebelum ini, Agenda Daily melaporkan individu yang dinamakan dalam surat permohonan kerajaan Pulau Pinang kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Yong Chee Kong, memberitahu bahawa bukan dia yang menulis surat yang mempunyai tanda tangannya.

“Saya tidak menulis surat itu, ini yang bos saya di Hong Kong mahukan, ia tidak sepatutnya guna alamat saya,” kata Chee Kong sambil mendedahkan surat itu ditulis oleh DAP Pulau Pinang.

Kon Yeow sebelum ini mendakwa bahawa Kerajaan Pusat menolak permohonan kerajaan Pulau Pinang menerima syarikat swasta yag mahu menaja dua juta dos vaksin Covid-19 dari China.

Susulan itu, Guan Eng pula mendesak Kon Yeow agar menerima tawaran vaksin tanpa persetujuan Kerajaan Persekutuan dan menangani akibatnya atau hukumannya kemudian.

Khairy, Guan Eng dan Kon Yeow membuat tuntutan itu berdasarkan surat Chee Kong, yang mengatakan bahawa dia adalah orang Malaysia yang bekerja di Xintai Development Enterprise Ltd berpangkalan di Hong Kong.

‘Yong’ mendakwa bahawa dia telah menghubungi Sinovac Biotech dan bersedia membayar deposit AS$2 juta (RM8.28 juta) untuk mendapatkan vaksin.

Namun, Khairy, ketika memeriksa dengan Sinovac Biotech, mendapati tidak ada permohonan yang dibuat, manakala Pegawai Jualan Antarabangsa Sinovac, Coco Chang mengesahkan bahawa dia tidak dihubungi oleh Chee Kong mengenai perkara itu.

“Jadi, macam mana kerajaan Pulau Pinang boleh menggunakan scam ini untuk menuduh Kerajaan Persekutuan menghalang derma dua juta dos vaksin untuk Pulau Pinang?” soal Khairy.

BERITA BERKAIT
POPULAR