Guan Eng gagal dalam rayuan, kes rasuah kekal di Mahkamah Sesyen

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng gagal lagi dalam permohonan untuk memindahkan kes rasuahnya membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang, dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Datuk Nor Bee Ariffin bersama dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali serta Datuk Hashim Hamzah sebulat suara menolak rayuan itu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Che Mohd Ruzima ketika menyampaikan keputusan mahkamah berkata, pendekatan perayu (Guan Eng) menggunakan Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah khusus untuk kesnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi sebagai landasan untuk membawa rayuan kesnya ke Mahkamah Persekutuan tidak wajar dibenarkan.

Menurutnya tidak ada kesilapan yang dilakukan oleh hakim Mahkamah Tinggi apabila memutuskan Guan Eng gagal memenuhi kehendak yang diperlukan di bawah Seksyen 417 (1) (b) dan Seksyen 417 (1) (e) Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau berkata kedua-dua persoalan undang-undang yang dibangkitkan oleh Guan Eng bukan tergolong dalam persoalan undang-undang yang luar biasa atau tidak pernah diputuskan oleh mana-mana mahkamah sebelum ini.

Oleh itu rayuan Guan Eng ditolak dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan, katanya seperti dilapor Bernama.

Setiausaha Agung DAP itu mengemukakan rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin yang menolak permohonannya untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Bagi kes yang bermula di Mahkamah Sesyen, rayuan akan berakhir di Mahkamah Rayuan manakala kes yang bermula di Mahkamah Tinggi akan berakhir di Mahkamah Persekutuan.

Guan Eng, yang juga Ahli Parlimen Bagan, berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, dia didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Guan Eng juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Setakat ini, 11 saksi pendakwaan telah memberi keterangan dalam perbicaraan kes tersebut yang bermula pada 13 Julai lepas. Perbicaraan dijadualkan bersambung 29 November di hadapan Hakim Azura Alwi.

Sepasukan peguam diketuai peguam Gobind Singh Deo mewakili Lim manakala Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin bagi pihak pendakwaan.

BERITA BERKAIT
POPULAR