Guan Eng anggap Najib gila seleweng fakta beli tanah, isu 1MDB

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyindir Datuk Seri Najib Razak yang cuba memutar belit kebenaran dan menafikan segala dakwaan, walaupun mahkamah telah menjatuhkan hukuman.

Malah menurutnya hakim telah menjatuhkan hukuman bersalah namun bekas Perdana Menteri itu yang juga Ahli Parlimen Pekan terus bercakap bohong.

“Anda semua sudah tengok “The Tinder Swindler” atau “Inventing Anna” di Netflix? Ia telah mengingatkan saya tentang Najib. Telah disabit salah di mahkamah tetapi cuba putar belit kebenaran dan menafikan segala dakwaan. Hakim sudah cakap dia bersalah tetapi dia terus guna media sosial memperdaya orang ramai untuk meraih populariti.

“Berapa banyak lagi pembohongan yang perlu Najib lakukan untuk menutup pembohongan demi pembohongan? Walaupun Najib telah memalukan negara, tetapi dia sedikit pun tidak rasa malu. Betul lah apa dia dah cakap, malu apa bossku,” kata Guan Eng dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Najib telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Bekas Presiden UMNO itu menjadi Perdana Menteri pada 2009 dan didakwa melakukan semua kesalahan itu di antara 17 Ogos 2011 hingga 2 Mac 2015. Najib juga berdepan banyak lagi tuduhan jenayah melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bagan itu berkata 12 Mac akan menentukan sama ada Timbalan Pengerusi UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Najib berjaya memperdaya pengundi Johor, untuk mempercayai bahawa hitam sememangnya boleh menjadi putih dan rasuah bukan lagi isu penting kepada pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu.

Guan Eng juga mempersoalkan sama ada Nur Jazlan dan Najib akan menafikan bahawa “Najib telah disabitkan bersalah oleh kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta”.

“Najib terus cuba menutup kebenaran dan menukar sejarah dengan membuat dakwaan keterlaluan di Parlimen pada 2 Mac bahawa tiada satu sen pun daripada jumlah hutang pokok 1MDB dibayar menggunakan dana awam.

“Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan telah membayar balik RM13.3 bilion hutang 1MDB setakat ini dengan baki hutang RM38.81 bilion setakat 31 Disember tahun lepas,” katanya.

Guan Eng juga berkata Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz telah melabelkan dakwaan Najib sebagai tidak berasas dan mendedahkan bahawa hutang semasa 1MDB berjumlah RM38.5 bilion yang mana RM6.5 bilion adalah faedah.

Menurutnya Najib tenggelam dalam fantasinya yang tidak masuk akal apabila mendakwa bahawa 1MDB membantu Petronas menjimatkan RM50 bilion dan akhirnya menyebabkan rizab Petronas meningkat daripada RM30 bilion kepada RM176 bilion.

“Najib meneruskan kegilaannya dengan menyeleweng fakta apabila mendakwa tanah Bandar Malaysia yang dibeli oleh 1MDB bernilai RM140 bilion sedangkan penilaian profesional sebenarnya kurang daripada 10 peratus nilai tersebut antara RM9 hingga RM12 bilion.

“Najib turut mendakwa anak syarikat 1MDB telah menjual tanah di Air Itam, Pulau Pinang pada harga RM2.7 bilion dan mencatat keuntungan RM1.32 bilion.

“Walaupun tanah itu telah dijual kepada Silk Road Southeast Asia Real Estate yang berpangkalan di Cayman, tiada apa yang telah didengari daripada mereka sejak itu.

“Sehingga kini hak milik tanah mahupun saham syarikat itu tidak dipindahkan kepada pembeli, menjadikan ini satu kes klasik pengubahan wang haram,” kata Guan Eng.

BERITA BERKAIT
POPULAR