GST tak popular kerana beri kesan kepada orang miskin: Pakar ekonomi

June 10, 2022 · Isu semasa

Satu daripada sebab cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak popular dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana ialah sifat regresif – cenderung bergerak ke bela­kang – cukai tersebut, iaitu membabitkan golongan miskin dan kaya secara sama rata.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berpendapat disebabkan cukai itu dikenakan kepada semua transaksi tanpa mengira status sosioekonomi, GST memberi beban yang tidak sepatutnya kepada kelompok miskin.

“Ini bermakna perlu ada pengecualian dan langkah lain yang dilaksanakan bersama-sama GST, khususnya bagi meringankan beban yang ditanggung oleh isi rumah dan individu miskin,” katanya menurut laporan Bernama hari ini.

GST merupakan cukai penggunaan dan dikenakan terhadap hampir kesemua transaksi dalam proses pengeluaran – terpakai ke atas kira-kira 60 peratus barangan dan perkhidmatan di bawah Indeks Harga Pengguna berbanding hanya 38 peratus bawah SST.

Namun, kelembapan ekonomi berserta peningkatan kos sara hidup yang merupakan kesan penularan pandemik Covid-19, menuntut Malaysia mencari sumber pendapatan baharu bagi mengisi semula perbendaharaannya yang menyusut teruk.

Buat masa ini kerajaan melihat GST, sistem cukai tidak popular yang diperkenalkan pada 2015 dan menjana RM44 bilion pada 2017, sebagai penyelesaian kepada masalah itu.

Dalam temu bual dengan akhbar Jepun Nikkei Asia pada 31 Mei lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan menimbang untuk memperkenalkan semula GST bagi menampung kerugian itu.

“Kami kehilangan kira-kira RM20 bilion (AS$4.6 bilion) dari segi hasil tahunan apabila GST dimansuhkan,” beliau dipetik berkata, namun menjelaskan kemudian bahawa GST tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Dalam keadaan Malaysia mengalami inflasi – kesan daripada pandemik, berserta konflik Russia-Ukraine dan perubahan iklim – kebanyakan pakar bersetuju tindakan memperkenalkan semula GST sekarang mungkin akan memburukkan lagi keadaan rakyat dan berpotensi mencetuskan kemelesetan tatkala ekonomi negara masih lagi bergelut untuk kembali bernafas.

Kebanyakan pakar ekonomi bersetuju, namun mereka berpandangan GST harus ditambah baik terlebih dahulu sebelum dilaksanakan buat kali kedua.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberitahu pemberita kerajaan masih meneliti pelbagai sistem cukai termasuk sama ada menambah baik Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) semasa atau memperkenalkan semula GST dan cara pelaksanaannya jika cukai itu kembali diwujudkan.

Katanya pelaksanaan cukai baharu juga mengambil masa iaitu kira-kira sembilan bulan selepas diluluskan oleh Parlimen.

Penganalisis ekonomi daripada Putra Business School, Prof Madya Ahmed Razman Abdul Latiff pula berkata “Kita memang cukup hebat dalam memperkenalkan skim atau pendekatan baharu, namun agak teruk dalam pelaksanaan.”

Pakar juga bersetuju, jika dilaksanakan dengan betul, GST adalah lebih cekap dan adil serta mampu meningkatkan hasil negara menerusi pertambahan sumber pendapatan. Selain itu, disebabkan GST pernah dilaksanakan sebelum ini, proses transisi kepada sistem tersebut juga akan lebih mudah dan cepat.

“Ini kerana setiap perniagaan menjadi ejen pengutip cukai secara tidak langsung dan mereka beroleh insentif daripada tuntutan semula cukai input (bayaran balik),” kata Ahmed Razman.

Bagaimanapun kata kunci di sini ialah pelaksanaan yang betul. Penganalisis memberitahu Bernama pelaksanaan kali pertama GST menghadapi masalah kerana ramai pengilang dan pembekal dalam rantaian bekalan tidak menerima bayaran balik seperti yang tertakluk dalam sistem itu.

“Apabila (pengeluar) tidak menerima bayaran balik daripada kerajaan, mereka berdepan kos yang lebih tinggi dan terpaksa meningkatkan harga bagi menampung defisit tunai,” jelasnya.

Keadaan itu mencetuskan kesan melata cukai ke atas cukai, iaitu bertentangan dengan matlamat GST. Setiap pihak dalam rantaian sepatutnya menerima bayaran balik tuntutan cukai input mereka dalam tempoh 14 hari selepas barangan dan perkhidmatan berpindah ke peringkat seterusnya dalam rantaian dengan pengguna akhir menjadi pembayar GST.

Pada 2019, kerajaan dilaporkan gagal membayar balik tuntutan Kredit Cukai Input (ITC) kepada pihak dalam rantaian bekalan. Pada tahun itu kerajaan memulangkan semula RM9.5 bilion kepada 76,002 premis yang berdaftar dengan GST.

Setakat Julai 2020, Kementerian Kewangan telah membayar balik kira-kira RM1.264 bilion kepada 4,316 perniagaan dengan lebih banyak syarikat dijangka menerima bayaran tuntutan balik mereka menjelang akhir tahun.

Menurut pakar, kerajaan perlu memastikan kesemua mekanisme sudah tersedia termasuk perniagaan juga boleh memenuhi tuntutan sistem baharu itu sebelum melaksanakan semula GST. Bagaimanapun tidak semua pemerhati yakin kerajaan akan dapat menyelesaikan segala masalah yang timbul.

Sekalipun begitu, Afzanizam berkata sebaik sahaja semua isu berbangkit telah diatasi, GST dapat menangani masalah ekonomi bayangan, iaitu perniagaan yang tidak berdaftar, sekali gus meningkatkan keupayaan kerajaan dalam mentadbir dan mengurus ekonomi, selain menambah baik kemampuan mengutip lebih banyak hasil.

“Sehubungan itu juga keupayaan untuk menyokong ekonomi ketika mendepani kejutan seperti yang kita lalui semasa pandemik, yang mana kerajaan terpaksa berbelanja besar, dapat ditambah baik,” ujar beliau.

Prof Dr Yeah Kim Leng daripada Sunway University Bussines School, berkata memandangkan GST adalah cukai penggunaan – bermakna mereka yang lebih banyak berbelanja khususnya untuk barangan mewah tidak perlu seperti udang kara, mereka perlu membayar lebih bagi menikmati keistimewaan itu – hadkan jumlah barang yang dikecualikan cukai.

“Kita hadapi (masalah) ini sebelum ini apabila udang kara dikecualikan GST. Saya rasa keju, semua ini, tidak patut dikecualikan.

“Saya rasa itu sebabnya lebih baik kita hadkan pengecualian itu ke atas sejumlah kecil barang sahaja. Saya berpendapat prinsip itu harus diteruskan dari segi mereka bentuk sistem yang mantap dan boleh mampan,” katanya.

Beliau berkata jika sesetengah daripada aspek GST memberikan impak negatif terhadap kumpulan berpendapatan rendah, maka kerajaan harus menanganinya, bukan dengan menghapuskan GST, tetapi menggunakan kaedah lain seperti pindahan tunai dan subsidi.

Memandangkan GST dan pengecualiannya memberikan kesan ke atas golongan miskin dan kaya, Ahmed Razman mencadangkan agar kerajaan meningkatkan pendapatan dengan menyasarkan golongan yang lebih berkemampuan membayar cukai, iaitu golongan kaya.

“Kita boleh memperkenakan cukai keuntungan modal, khususnya untuk mereka yang terlibat dalam dagangan saham. Pada masa ini, jika kita beli saham pada harga RM1 seunit dan tiba-tiba dijual pada harga RM10, iaitu untung RM9, tidak ada cukai dikenakan di situ.

“Jadi, daripada kenakan cukai ke atas semua ahli masyarakat, rasanya ada mekanisme lebih baik untuk menyasarkan mereka yang ada kekayaan berlebihan. Namun sudah tentu ini lebih rumit berbanding GST,” katanya. – Bernama

Berita berkaitan
Bursa Malaysia lemah, lautan merah selepas banyak kaunter alami kerugian
June 13, 2022· Isu semasa
Kajian menyeluruh sebelum perkenal semula GST: IDEAS
June 11, 2022· Isu semasa
Sistem GST akan ditambah baik jika diperkenalkan semula: Zafrul
June 10, 2022· Isu semasa
Cadangan perkenal GST, rakyat sudah terhimpit sekarang: Hadi
June 3, 2022· Isu semasa
Popular
Ia berlaku seperti jangkaan, kata pendakwaan bantah permohonan Najib
July 6, 2022
Youtuber tarik tudung dua wanita Islam didakwa di mahkamah
July 6, 2022
Rumah saya lebih besar: Zahid beritahu mahkamah isu dua banglo
July 6, 2022
21 Julai keputusan Najib boleh atau tidak dapat khidmat QC Britain
July 6, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Kedah tanggung enam bulan sewa rumah mangsa banjir Baling: MB
37 minit lalu · Isu semasa
Zahid mengaku anak diminta pantau pelaksanaan pelaburan dalam hotel
48 minit lalu · Isu semasa
‘Kelakar’ jika tanya penderma duit haram atau tidak, kata Zahid
1 jam lalu · Isu semasa
Maybank naikkan kadar pinjaman asas 25 mata mulai Jumaat
2 jam lalu · Isu semasa
Nilai ringgit jatuh lagi, Bursa Malaysia pula menjunam
2 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir wakaf tapak perkuburan Islam di Kepala Batas
3 jam lalu
[VIDEO] Asia Times sangkal penafian Mat Hasan, kongsi rakaman audio
23 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok