
Rebat elektrik diberikan kerajaan kepada pengguna.
Tenaga Nasional Bhd (TNB) memberi jaminan bekalan elektrik di negara ini adalah berdaya harap dan stabil kerana kejadian gangguan bekalan mampu dipulihkan dalam tempoh segera.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Baharin Din berkata jaminan itu dapat dibuktikan menerusi kejadian gangguan bekalan di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia tengah hari tadi apabila pemulihan bekalan dapat dilaksanakan dengan pantas hasil kecekapan pasukan teknikal TNB.
Memetik Bernama, beliau berkata rangkaian Grid Nasional itu sendiri mempunyai ciri-ciri pintar yang memudahkan kerja pengesanan dan pemulihan bekalan.
“Kami telah dapat menyelesaikan masalah gangguan dalam tempoh wajar, malah ada kawasan yang pulih seawal 20 minit selepas terputus bekalan.
“Pemulihan bekalan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap hasil pelaburan secara berterusan TNB memodenkan grid termasuk mendigitalkannya agar rangkaian pembekalannya lebih stabil, fleksibel dan konsisten,” katanya dalam kenyataan hari ini.
TNB memaklumkan gangguan bekalan elektrik yang berlaku di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia sejak 12.39 tengah hari ini berpunca daripada kerosakan satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.
Merujuk kejadian itu, Baharin berkata kejadian kerosakan PMU itu adalah kes terpencil serta tidak melibatkan sebarang kerosakan dan telah beroperasi sepenuhnya.
“Keupayaan kami memulihkan bekalan hari ini adalah berikutan pelaburan besar dan berterusan TNB bagi menaik taraf sistem dengan sokongan Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli,” katanya.
Baharin turut memohon maaf kepada semua pengguna yang terlibat dengan gangguan bekalan itu serta memaklumkan pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci bersama ST bagi mengambil langkah pencegahan dan usaha penambahbaikan.
Berikut adalah kronologi kejadian gangguan bekalan elektrik yang pernah berlaku sebelum ini.
29 September 1992
Gangguan bekalan elektrik terbesar apabila seluruh Semenanjung Malaysia ‘bergelap’ selama 48 jam apabila kilat merosakkan rangkaian utama di timur Malaysia, menjejaskan stesen-stesen janaelektrik di Semenanjung.
Kejadian itu menjejaskan 18 juta pengguna dan mengakibatkan kerugian perniagaan berjumlah RM220 juta.
3 Ogos 1996
Hampir seluruh Semenanjung mengalami gangguan bekalan elektrik bermula pukul 5.18 petang menyebabkan keadaan kelam-kabut terutama di kawasan bandar.
Gangguan elektrik itu berlaku serentak di kebanyakan negeri dan dipercayai berpunca daripada kerosakan di Stesen Janakuasa Elektrik Paka, Terengganu.
Gangguan bekalan elektrik kedua terbesar berlaku itu dikenali sebagai ‘Black Friday’ yang menyebabkan ‘huru-hara dan kelam-kabut’ di pusat-pusat bandar kerana ia berlaku pada 5.17 petang ketika pekerja dalam perjalanan pulang ke rumah.
Ramai terperangkap dalam kesesakan lalu lintas teruk dan bekalan elektrik hanya pulih pada kira-kira 8.30 pagi keesokannya.
1 September 2003
Lima negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan mengalami gangguan elektrik selama empat jam sejak pukul 10 pagi sehingga bekalan dipulihkan semula pada kira-kira 2 petang.
Kejadian itu dilaporkan kerana masalah teknikal apabila talian penghantaran bekalan elektrik antara Bukit Beruntung di Rawang dan Batu Gajah di Perak terpelantik ketika kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan.
13 Januari 2005
Gangguan bekalan elektrik berlaku pada 12.16 tengah hari pada hari tersebut telah menyebabkan beberapa negeri di selatan Semenanjung iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan elektrik dan berjaya dipulihkan secara berperingkat sejak pukul 1.40 tengah hari.
Kawasan terakhir dipulihkan ialah Kluang, Johor pada 5 petang.