
Bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion.
Kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu menasihati Yang di-Pertua Negeri Sarawak supaya membatalkan gelaran kehormat yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Ahli Parlimen Stampin, Sarawak Chong Chieng Jen.
Umum mengetahui, pada 2009 Najib telah dianugerahkan darjah kedua tertinggi Sarawak – Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Datuk Patinggi Bintang Kenyalang – yang membawa gelaran “Datuk Patinggi”.
“Dengan pengesahan sabitannya oleh Mahkamah Persekutuan, kini tidak diragukan lagi bahawa Najib adalah banduan kerana telah melakukan jenayah salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.
“Ia juga disebut dalam penghakiman Mahkamah Rayuan bahawa dia ‘memalukan negara’,” kata Chong, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Padungan seperti dilapor BorneoPost.
Menurutnya kedua-dua Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan telah sebulat suara mengesahkan sabitan Najib yang didapati bersalah oleh hakim Mahkamah Tinggi, walaupun Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Sim Kui Hian menyifatkan Najib sebagai ‘Perdana Menteri terbaik’.
“Oleh itu, untuk terus membenarkannya (Najib) menyandang anugerah kedua tertinggi negeri adalah mencemarkan gelaran Datuk Patinggi Sarawak.
“Malah, ketua-ketua negeri Selangor dan Pulau Pinang telah membatalkan gelaran kehormat yang diberikan kepadanya selepas akur sabitan oleh Mahkamah Persekutuan.”
Chong menambah, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan juga telah membatalkan gelaran kehormat yang diberikan kepada Najib dan isterinya Rosmah Mansor apabila kedua-duanya didakwa di mahkamah, pada 2018.
“Oleh itu, saya menyeru Premier Sarawak untuk menasihati Yang di-Pertua Negeri supaya membatalkan anugerah kepada Najib,” katanya.