Geram anak ditampar, lelaki cederakan murid Tahun Tiga

Gara-gara berang anak ditampar rakan sekelas, seorang lelaki tergamak mencederakan seorang murid tahun tiga di sebuah sekolah rendah di Chendering, Kuala Terengganu, semalam, 24 April 2022.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun berkenaan dilaporkan cedera ringan pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, sebelum kejadian, mangsa dan anak lelaki itu dikatakan bermain sebelum berlaku perselisihan faham.

“Rakan sekelas mangsa kemudianya mengadu dia telah ditampar kepada bapa yang tiba untuk mengambilnya tidak lama kemudian.

“Mendengar aduan anaknya, lelaki itu naik berang lalu mencekik sebelum menghempas mangsa ke tanah sehingga menyebabkan kepala kanak-kanak itu mengalami luka dipercayai akibat terkena batu,” katanya seperti dilapor Kosmo hari ini.

Abdul Rahim berkata, bapa mangsa yang tidak berpuas hati dengan insiden tersebut kemudiannya telah membuat laporan polis di Balai Polis Chendering di sini.

Tambah beliau, kanak-kanak itu telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR