Garis panduan ‘kelonggaran’ aktiviti penerima lengkap dua dos ke MKN

Pakar kesihatan awam negara telah memberi taklimat berkaitan garis panduan apa yang boleh dilakukan penerima yang sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Taklimat itu diberi susulan rancangan kerajaan memberi kelonggaran dan sedikit kebebasan kepada orang ramai yang telah melengkapkan dua dos suntikan, sebagaimana dilakukan di beberapa negara lain.

Sehubungan itu, Dr Adham berkata garis panduan berkenaan akan dibentangkan pada Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Negara (MKN) dalam masa terdekat.

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan garis panduan berkenaan.

Katanya beliau dan Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, sudah diberi taklimat oleh pakar kesihatan awam negara, dalam pengendalian serta faedah vaksin ketika mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKAV), dua hari lalu.

“Kita ada maklumat awal dengan merujuk beberapa negara ‘best practise’ dalam pengurusan Covid-19 termasuk faedah vaksin seperti yang dilakukan Amerika Syarikat (AS)

“Di AS contohnya, mereka sudah mula memberi beberapa faedah kepada penerima vaksin berikutan sudah merekodkan lebih 30 peratus penduduk negara itu yang sudah lengkap dua dos.

“Malaysia juga akan beri sedikit kelonggaran pada penerima vaksin sudah lengkap dua dos. Namun kita akan minta pakar kesihatan awam untuk beri pandangan, cadangan dan bentangkan dalam Sidang Khas MKN untuk dijadikan rujukan sebelum keputusan mengenainya dibuat,” katanya.

Minggu lalu, Khairy dilaporkan berkata, kerajaan dijangka mengeluarkan garis panduan kepada penerima yang sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 bulan depan bagi memberi lebih kelonggaran kepada golongan berkenaan.

Khairy berkata, JKJAV sedang menyediakan garis panduan itu, yang akan dibentangkan di peringkat jawatankuasa berkenaan, sebelum dibawa ke MKN.

“Kita mungkin akan keluarkan garis panduan mengenai apa yang anda boleh lakukan selepas anda sudah menerima sepenuhnya dua dos vaksin. Bagaimanapun, buat masa ini, dengan penularan varian Covid-19 Delta, kita lebih berhati-hati,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR