
Ebit Lew hadir di Bukit Aman bagi diambil keterangan berhubung dakwaan gangguan seksual, pada 19 Ogos 2021.
Polis mengesahkan menyoal siasat dan merakam percakapan pendakwah terkenal, Ebit Lew bagi membantu siasatan kes dakwaan gangguan seksual di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, keterangan Ebit Lew diambil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan- Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan akan diteruskan sehingga pihak polis berpuas hati untuk merujuk kes ini kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapat nasihat dan arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abd Jalil berkata, pihaknya memohon kepada semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi bagi memastikan kes itu dapat disiasat dengan telus.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang penyebaran apa-apa juga bahan yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis,” katanya.