
Gambar tular dikeluarkan sebuah blog, "Checkmatebro".
Datuk Seri M Saravanan mengesahkan gambar tular asli bersama dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu baru-baru ini.
Timbalan Presiden MIC itu bagaimanapun berkata tidak bersama sebahagian dalam rombongan dengan Mohamad atau Mat Sabu sebaliknya ke India untuk upacara sembahyang.
Ini (perjalanan) berlaku pada bulan Januari. Saya pergi ke India untuk upacara sembahyang dan kebetulan saya terserempak dengan menteri dan lelaki yang berkenaan,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.
Jelasnya, mereka hanya berkongsi buggy memandangkan kekurangan kenderaan untuk membawa mereka ke bilik pelepasan.
“Mereka mempunyai kereta buggy yang terhad. Jadi di lapangan terbang (Chennai) selepas mendarat, kami semua perlu berkongsi kenderaan yang sama kerana laluan pejalan kaki agak jauh.
“Saya pergi (ke India) untuk ikuti upacara, saya tidak tahu mereka pergi untuk beberapa urusan rasmi. Ia hanya kebetulan, itu sahaja,” jelas bekas menteri lagi.
Perjalanan Mohamad ke India mendapat perhatian berikutan dakwaan mengenai kontrak rundingan terus kerajaan kepada sebuah syarikat tunggal untuk bekalan telur dari negara itu.
Pada Sabtu, pemimpin Bersatu Datuk Seri Azmin Ali mendakwa kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menganugerahkan projek mengimport telur dari India kepada Deepak, seorang ahli perniagaan yang menjadi pengkritik terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.
Ketika menyampaikan ucapan pada majlis ceramah Perikatan Nasional (PN) di Kuala Lumpur, Azmin juga mendakwa kontrak berkenaan diberikan melalui rundingan terus, bertentangan dengan ikrar kerajaan baru untuk menamatkan amalan sedemikian bagi projek kerajaan.