Gaji naik, harga barang boleh naik

Kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 mungkin boleh menyebabkan harga barangan akan turut meningkat, kata Profesor Kehormat Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Datuk Dr Madeline Berma.

Beliau berkata kenaikan gaji minimum juga boleh menyebabkan kesan penggantian kerana apabila kenaikan harga barangan itu diserapkan, sering kali majikan atau pengusaha akan mengalihkan kos tambahan kepada pengguna.

“Oleh itu, ada yang tidak menikmati kenaikan gaji minimum tetapi secara makronya harga barangan naik.

“Bagi saya, isunya bukan sahaja mengurus kenaikan gaji minimum kerana yang terkesan adalah rakyat secara keseluruhannya. Isu ayam, telur, rantaian bekalan itu yang patut dibincangkan.

“Kesan lain ialah ada sesetengah majikan menyatakan bahawa ini adalah waktu terbaik untuk menggantikan pekerja dengan mesin atau teknologi baharu daripada terpaksa menanggung beban kenaikan gaji buruh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Kos Sara Hidup Naik, Gaji Masih Sama… Sampai Bila? – Pekerja Malaysia’ terbitan Bernama TV malam tadi.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kebenaran bahawa dari segi ekonomi, terdapat kebenaran apabila meletakkan wang di tangan pengguna atau individu akan menjana ekonomi kerana pendapatan itu akan dibelanjakan.

“Seperti yang saya sebut sebelum ini, sasarannya kena betul sebab ramai dalam sektor tidak formal berada dalam kalangan pendapatan rendah,” katanya.

Beliau berkata belum masanya untuk kenaikan gaji minimum kerana majikan ketika ini banyak yang bertahan atas dasar subsidi kerajaan.

“Kebanyakannya bertahan atas dasar subsidi kerajaan dan kita tahu subsidi upah ini akan berakhir tidak lama lagi. Saya lebih khuatir mengenai masa sebab kita memerlukan bisnes dari segi mikro, skala sederhana dan skala besar ini untuk pulih dahulu.

“Kos sekarang, kini kita tambahkan lagi kos buruh, dengan kos modalnya, belum cerita lagi rantaian bekalan yang tersekat-sekat. Bagi saya, kita harus benarkan dahulu perniagaan ‘bernafas’.

“Bagi saya, waktunya mungkin pada masa ini belum sesuai,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR