
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari mengumumkan enam inisiatif baharu kepada penjawat awam, termasuk kenaikan gaji tambahan RM100 bagi kakitangan Gred 11 hingga Gred 56 yang akan dibayar mulai Januari 2023.
Inisiatif berkenaan akan memberi manfaat kepada seramai 1.28 juta penjawat awam dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.5 bilion.
“Sebagai contoh, sebelum ini kadar KGT bagi Gred 11 adalah RM80. Maka pada 2023, beliau akan menerima kadar KGT asas sebanyak RM80.
“Tambahan khas sebanyak RM100 menjadikan jumlah KGT diterima pada 2023 adalah sebanyak RM180,” katanya dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam MAPPA) yang ke-18, di Putrajaya, hari ini
Perdana Menteri turut mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023 diteruskan kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 dan ke bawah berjumlah RM700.
Ini termasuk bantuan RM350 bagi pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen yang akan diberi pada Januari 2023.
Inisiatif berikutnya ialah penambahbaikan pemberian pergerakan gaji tahunan kepada pegawai yang telah mencapai gaji maksimum.
Kerajaan bersetuju menambah baik Kadar Tetap 3 peratus semasa yang diterima pegawai yang mencapai gaji maksimum kepada suatu kadar baharu dan diseragamkan mengikut gred bagi semua klasifikasi perkhidmatan berkuat kuasa 1 Januari 2022.
“Jabatan Perkhidmatan Awam akan mengeluarkan Pekeliling berkaitan bagi penjelasan terperinci bagi perkara ini,” kata Perdana Menteri.
Menurutnya kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai (GCR) daripada 160 hari dinaikkan ke 180 hari.
Katanya kerajaan memahami dengan beban tugas yang semakin besar dan mencabar, ramai anggota perkhidmatan awam yang tidak dapat menghabiskan cuti rehat tahunan mereka.
Dengan kenaikan kadar maksimum GCR ini, membolehkan cuti tersebut disimpan bagi tujuan award wang tunai pada masa persaraan sekali gus meningkatkan tunai di tangan pada hari persaraan kelak.
Kadar Cuti Rehat Khas sebanyak lima hari menjadikan jumlah Cuti Rehat Khas 15 hari setahun kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun.
Tambahan Cuti Rehat Khas sebanyak lima hari ini akan memberi manfaat kepada lebih kurang 500,000 guru bagi urusan-urusan yang mustahak dan kecemasan yang dibenarkan serta memberi peluang guru-guru mengumpul jumlah GCR yang lebih tinggi.
Turut diumumkan inisiatif perluasan tafsiran ahli keluarga bagi kemudahan Cuti Tanpa Rekod urusan kematian ahli keluarga terdekat.
Jika sebelum ini cuti tanpa rekod bagi urusan kematian hanya tertakluk kepada kematian suami atau isteri, ibu kandung dan ibu mertua, bapa kandung dan bapa mertua serta anak sahaja, penambahbaikan tafsiran ahli keluarga diperluas kepada kematian yang melibatkan adik-beradik, nenek dan datuk bagi anggota perkhidmatan awam, kata Ismail Sabri.
Kerajaan juga bersetuju Jabatan Perkhidmatan Awam menyegerakan kajian ke atas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dengan mengambil kira keseluruhan aspek modal insan merangkumi saraan dan perkhidmatan agar relevan dengan keadaan semasa serta kemampuan kewangan kerajaan.