Gajah mengamuk pijak lembu, pokok pisang penduduk

Gambar hiasan

Puluhan penduduk Kampung Subong, di Gua Musang, Kelantan rugi lebih RM50,000 apabila hasil tanaman pokok pisang mereka musnah diserang seekor gajah liar yang naik minyak, Khamis lalu.

Memetik laporan Bernama, seorang penduduk, Zakaria Omar, 53, berkata 300 pokok pisang musnah dan dua ekor lembu yang diternak juga mati dipijak gajah liar itu dalam kejadian yang berlaku antara jam 10 malam hingga 3 pagi itu.

Zakaria berkata, gajah liar itu dijumpai berkeliaran dalam kebunnya sejak dua minggu lepas dan didapati semakin mengganas sejak akhir-akhir ini, sehingga bertindak memijak dua ekor lembu ternakan yang dilepaskan meragut di sekitar kebun getah berdekatan.

“Mungkin selepas pijak lembu itu, gajah terbabit memusnahkan 150 pokok pisang yang saya usahakan, yang baru sahaja keluarkan hasil tiga bulan lalu dan belum sempat menjualnya,” katanya, hari ini.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, susulan kejadian itu, penduduk berasa takut untuk memasuki kawasan kebun sama ada bagi kerja menoreh getah atau menebang pokok pisang kerana bimbang dengan keselamatan mereka.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Mohd Nazri Hamzah, 52, berkata hampir setiap hari penduduk ternampak gajah liar itu berkeliaran di beberapa kawasan kebun penduduk termasuk di kebunnya.

“Kehadiran gajah liar itu berlaku pertama kali sejak penduduk membuka kebun pisang dan menanam pokok getah 30 tahun lepas…Saya yang terserempak beberapa kali dengan gajah itu termasuk pada waktu siang,” katanya.

Jelasnya, perkara tersebut telah dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan berharap masalah itu diselesaikan secepat mungkin kerana kebanyakan penduduk bergantung kepada hasil tanaman pokok pisang dan kerja menoreh getah sebagai sumber pendapatan mereka.

POPULAR