Gabenor jelaskan perbezaan Malaysia dengan Sri Lanka

July 24, 2022 · Isu semasa

Terdapat kebimbangan Malaysia akan mengikut jejak sama seperti yang berlaku dengan Sri Lanka apabila berdepan krisis ekonomi yang teruk.

Kadar inflasi dalam negara yang meningkat menyebabkan kos sara hidup rakyat juga naik dan tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak dua kali tahun ini menimbulkan keresahan orang ramai berhubung kedudukan kewangan negara.

Bagaimanapun, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menjelaskan perbezaan situasi antara Malaysia dengan Sri Lanka dan memberi jaminan negara tidak akan berdepan situasi sama dengan negara tersebut.

Shamsiah berkata antara perbezaannya ialah pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan rizab antarabangsa Malaysia lebih mantap serta inflasi yang lebih terkawal.

Katanya, ada dua aspek yang sangat membezakan hutang Malaysia dan Sri Lanka, dengan yang pertama, pinjaman dalam mata wang asing oleh kerajaan adalah sangat kecil berbanding Sri Lanka.

“Dalam konteks ini (pinjaman dalam mata wang asing), sebahagian besar hutang Kerajaan Persekutuan tertunggak adalah di dalam mata wang ringgit (97.5 peratus) dan hanya sebanyak 2.5 peratus adalah dalam mata wang asing.

“Aspek kedua pula ialah sektor kewangan Malaysia kukuh dan pasaran kewangan tempatan juga besar dan dalam. Justeru, risiko kejutan kewangan boleh kita hadapi dengan lebih baik,” katanya dipetik laporan BH.

Gabenor bank pusat itu menjelaskan, ketika ekonomi negara terkesan akibat wabak Covid-19, bank berkeupayaan untuk membantu peminjam secara besar-besaran.

Terkini, walaupun keadaan ekonomi semakin pulih, beliau berkata, bank terus menyediakan bantuan pembayaran semula kepada peminjam yang memerlukannya sambil meningkatkan aktiviti pemberian pinjaman untuk menyokong pemulihan ekonomi.

Namun, katanya, terdapat beberapa pengajaran penting yang dapat dijadikan iktibar daripada krisis di Sri Lanka itu dengan antaranya Malaysia perlu mengekalkan kedudukan fiskal yang teguh dan mampan bagi membolehkan kerajaan membantu isi rumah yang terjejas pada waktu yang mendesak.

“Keperluan memelihara daya tahan luaran, termasuk memastikan penambahan hutang luar negeri, terutamanya hutang dalam mata wang asing, dibuat secara berhemat dan pinjaman yang diterima itu digunakan secara produktif.

“Kita juga perlu memastikan rizab antarabangsa berada pada tahap yang kukuh,” katanya.

Mengulas lanjut, Nor Shamsiah berkata, negara juga perlu menekankan reformasi ekonomi agar sentiasa boleh berdaya saing dan memperbetulkan sebarang kelemahan sebelum ia membarah.

“Contohnya, memelihara institusi negara yang kukuh yang boleh meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia. Malaysia berada pada landasan yang sedia baik, namun, tanpa pembaharuan, kita akan ketinggalan kerana pesaing kita telah meningkatkan ‘offering’ masing-masing,” katanya.

Dalam menangani cabaran pada masa hadapan, beliau berkata, pembaharuan struktur perlu diteruskan terutamanya melalui pewujudan pekerjaan yang berkualiti tinggi dan berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia.

Katanya, pembaharuan itu akan meningkatkan daya tahan pekerja dan isi rumah yang lebih mampan pada masa hadapan.

Nor Shamsiah juga berkata, tindakan itu akan membantu perniagaan tempatan meningkatkan daya saing, memacu produktiviti dan mengurangkan kebergantungan negara yang berlebihan terhadap pekerja asing.

Katanya, terdapat juga keperluan mendesak untuk memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial dan menambah baik rangka kerja perlindungan sosial bagi menangani masalah dan kelemahan sedia ada dan memastikan daya tahan masyarakat untuk jangka panjang.

Mengenai prospek ekonomi untuk tahun ini, meskipun berhadapan dengan situasi mencabar susulan ketidaktentuan global, Nor Shamsiah berkata pihaknya menjangka ekonomi Malaysia bertambah baik, dengan unjuran pertumbuhan antara 5.3 peratus hingga 6.3 peratus.

Pertumbuhan akan didorong oleh permintaan dalam negeri yang semakin kukuh dan permintaan luaran yang dijangka terus berkembang.

“Ekonomi akan disokong oleh peningkatan perbelanjaan isi rumah dan perniagaan berikutan peralihan ke fasa endemik. Pelbagai data menunjukkan aktiviti ekonomi semakin rancak. Ini termasuklah data guna tenaga, perbelanjaan isi rumah, pengeluaran perindustrian serta perdagangan borong dan runcit.

“Tambahan pula, pembukaan semula sempadan antarabangsa, keadaan pasaran pekerja yang lebih baik dan pelaksanaan projek pelaburan menjangkau beberapa tahun ke hadapan juga akan meningkatkan kegiatan ekonomi,” jelas beliau.

Berita berkaitan
Pengapungan harga petrol dijangka beri tekanan kepada rakyat, kata Bersatu
April 18, 2024· Politik
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024· Isu semasa
Sekarang rakyat cakap balik kepada Tambun, ‘Hang yang tak reti jaga negeri’
March 5, 2024· Politik
Kerajaan sedar tak rakyat sedang tertekan hari ini? soal Senator UMNO
December 13, 2023· Isu semasa
Popular
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Kenali pereka kasut, Jimmy Choo
November 6, 2021
BNM dijangka naikkan OPR 25 mata asas lagi bulan depan
October 21, 2022
Kembalikan deria bau
November 9, 2021
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok