Cantik luaran sahaja tidak cukup: Francisca

Tanyalah kepada mana-mana wanita, pasti semua mahu tampil cantik kerana kecantikan adalah sesuatu yang sangat sinonim buat golongan itu.

Cantik itu sendiri didefinisikan sebagai suatu yang indah dan menarik.

Setiap wanita mentafsirkan makna cantik mengikut pandangan masing-masing, ada yang menganggap cantik itu apabila memiliki tubuh langsing menawan.

Ada pula berpendapat seseorang wanita yang cantik mempunyai kulit wajah halus mulus bak bayi manakala ada pula menyatakan cantik itu dinilai apabila wanita itu mempunyai pakej lengkap iaitu paras rupa, bijak dan berbudi bahasa.

Hakikatnya, apakah maksud sebenar kecantikan pada diri seorang wanita?

Menurut Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong James, kecantikan itu subjektif kerana semua manusia dilahirkan cantik dan mempunyai keistimewaan sendiri.

“Cantik luaran sahaja tidak cukup. Untuk kelihatan cantik pada pandangan mata orang luar, wanita itu perlu bijak membawa diri dan sentiasa bersedia dalam apa juga keadaan terutama apabila berdepan dengan khalayak.

“Penampilan yang baik disertakan tingkah laku dan komunikasi hebat dapat mempengaruhi tanggapan positif individu lain terhadap diri kita,” ujarnya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Perhubungan Awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Lendu, Melaka.

Salah satu projek sosial diusahakan Francisca adalah membantu wanita dari pelbagai latar belakang untuk berdaya maju.

“Projek yang dimulakan sekitar awal tahun ini menyasarkan wanita di Sabah dan Sarawak. Maklumlah di sana ramai wanita masih bergelut mencari peluang di luar. Kami sudah mengatur satu acara bersama sebuah kementerian untuk tujuan itu,” ulasnya.

Menyentuh perancangan masa depannya, Francisca berkata, dia ingin membuka syarikat perhubungan awam sendiri selain mempunyai rancangan travelog yang dapat membantu mempromosikan keunikan Malaysia.

“Menerusi gelaran Miss Universe 2020 ini, saya ingin memberi balik kepada masyarakat dan negara. Saya ingin membantu mempopularkan tradisi-tradisi unik di negara ini.

“Saya juga ingin bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu mereka yang memerlukan seperti ibu tunggal, anak yatim atau orang asal,” ujarnya.

POPULAR