
Charles Santiago, bekas Ahli Parlimen DAP.
Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago hari ini memohon maaf secara terbuka kepada pendakwah, Dr Zakir Naik Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini kerana memfitnah pada satu ceramah, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan kenyataan Charles dalam ceramah bertajuk ‘Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE)’ pada 25 November 2019 memfitnah Zakir.
Bagaimanapun kata Akhtar, kenyataan fitnah itu tidak mencemarkan imej dan reputasi Zakir selaku plaintif sebaliknya ia meningkatkan reputasinya sebagai seorang yang berpengaruh di negara ini.
“Oleh itu mahkamah memutuskan plaintif (Zakir) tidak berhak mendapat sebarang ganti rugi tetapi oleh kerana kenyataan berkenaan adalah fitnah, mahkamah mengarahkan defendan (Charles) memohon maaf secara terbuka atas kenyataan yang mengaitkan plaintif dengan penahanan dua ahli DAP,” katanya, lapor BH.
Selesai membaca penghakimannya itu, hakim kemudian memanggil Zakir dan Charles untuk tampil ke hadapan dan mengarahkan Charles meminta maaf secara terbuka kepada Zakir.
“Saya mohon maaf atas kenyataan berkenaan,” kata Charles kepada Zakir.
Akhtar kemudian bertanya kepada Zakir sama ada beliau menerima permohonan maaf berkenaan, Zakir menjawab, “ya, saya terima.”
Kenyataan itu diterbitkan dalam portal FMT bertajuk ‘Critcism of Zakir Naik may have led to LTTE arrest says MP’ yang memetik kenyataan Charles mengenai penahanan dua ahli DAP pada 10 Oktober 2020 menjelang belanjawan dibentangkan di Parlimen.
Kata Akhtar, Charles mencadangkan penahanan itu mungkin sebagai tindak balas terhadap kritikan dan pelbagai laporan polis yang dibuat terhadap Zakir dan itu satu amaran kepada masyarakat India.
Katanya, selain daripada hanya menafikan membuat kenyataan itu, mahkamah menyatakan defendan gagal secara efektif dalam mencabar apa yang dinyatakan dalam artikel berkenaan lalu mahkamah menyimpulkan bahawa kenyataan itu sememangnya dibuat oleh defendan.
“Walaupun defendan menyatakan ia tidak ditujukan kepada plaintif, kenyataan berkenaan adalah serampang dua mata iaitu satu ditujukan kepada polis dan kerajaan dan satu lagi ditujukan kepada plaintif.
“Implikasi daripada kenyataan terhadap plaintif itu ialah plaintif mempunyai pengaruh terhadap polis dan kerajaan dalam penahanan dua ahli DAP berkenaan.
“Walaupun kenyataan itu ungkapan pendapat defendan, ia bersifat spekulatif dan belum disahkan serta tiada sebarang keterangan oleh defendan yang membuktikan kesahihannya. Oleh itu, Mahkamah memutuskan bahawa kenyataan ini memfitnah plaintif,” katanya.