
Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin membahas Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini (2 Mac 2023).
Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin mempersoalkan Bajet 2023 kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang langsung tidak menyentuh kebajikan peneroka Felda.
Berbanding dengan usaha dilakukan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika menjadi Perdana Menteri, turut menghapuskan hutang peneroka.
Bagaimanapun, baru-baru ini kerajaan PH-BN memaklumkan bahawa penghapusan hutang peneroka itu dibatalkan.
Pada masa sama, Radzi juga menyentuh mengenai pegangan saham Felda dalam sebuah syarikat peladangan Indonesia, Eagle High Plantation (EHP).
“Pada 2016, Felda yang ketika itu tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi, telah diberi pinjaman oleh Kementerian Kewangan sebanyak RM2.3 billion untuk membeli 37% saham di dalam syarikat perladangan Indonesia, PT Eagle High Plantations (EHP) daripada PT Rajawali Capital International (RCI) dan PT Rajawali Copra (RC).
“Harga saham EHP sewaktu dibeli oleh anak syarikat milik penuh Felda, FICP, pada Oktober 2016 adalah IDR565 sesaham. Pada 21 Februari 2023, harganya cuma tinggal IDR66 sahaja.
“Secara keseluruhan, nilai pelaburan RM2.3 billion itu cuma tinggal sekitar 10% sahaja! Melabur RM2.3b pada 2016 dan hari ini nilainya hanya RM220 juta sahaja.
“Ketika isu pembelian ditimbulkan, Perdana Menteri ke-6, Dato’ Sri Najib, pada 9 April 2019 menyatakan bahawa pembelian saham ini disertakan dengan put option di mana menurut beliau, “put option ini kalau kita tak mahu teruskan pelaburan itu, kita boleh tuntut balik semula wang kita yang kita bayar bersama dengan faedah 6% setiap tahun”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini (Khamis, 2 Mac 2023).
Radzi berkata mengikut perjanjian, Felda, melalui FICP, boleh di atas budi bicara mutlak melaksanakan put option pada tarikh akhir tempoh option iaitu 11 Mei 2022.
Ini bermakna kalau pada 11 Mei 2022, Felda kata kami nak jual balik semua 37% saham yang dibeli dan minta supaya pelaburan bernilai 2.3 billion ringgit dibayar balik bersama faedah 6%, maka RCI dan RC wajib membayarnya semula, katanya lagi.
Bagaimanapun, menurutnya, apabila Felda melaksanakan put option pada 11 Mei 2022 dan RCI serta RC perlu memulangkan balik nilai pelaburan bersama faedah 6% selewat-lewatnya 25 Mei 2022, syarikat tersebut tidak bersetuju.
“Felda kemudian memfailkan Notis Timbang Tara ke Singapore International Arbitration Centre pada 17 Januari 2023. Soalan saya:
a. Berapakah baki hutang untuk pembelian saham EHP yang masih belum dibayar Felda kepada GovCo, dengan perincian prinsipal dan faedah?
b. Berapakah hutang GovCo yang telah dibayar oleh Felda dengan perincian principal dan faedah?
c. Apakah kesan bayaran hutang ini kepada kewangan Felda?
d. Apakah manafaat yang diraih oleh Felda setakat ini hasil daripada pembelian saham EHP?
e. Apakah langkah Felda untuk menyelesaikan legasi yang amat membebankan ini?
f. Sekiranya Felda gagal dalam timbang tara, apakah kesan pelaburan ini kepada kebajikan peneroka?
g. Apakah telah ada tindakan diambil ketas mereka yang bertanggungjawab dalam urusniaga ini?
h. Dan yang terakhir, kenapa sahabat-sahabat dalam kerajaan campuran PH-BN senyap sahaja skandal besar melibatkan pembelian saham EHP ini?