Sebanyak 401 jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu di Kelantan, sekali gus menyaksikan fasiliti kesihatan di negeri itu terpaksa diguna pada tahap maksimum.
Malah, dilaporkan bahawa penggunaan fasiliti, termasuk katil di unit rawatan rapi (ICU) hospital bagi menempatkan pesakit Covid-19 sudah mencapai tahap maksimum.
Keadaan ini menyebabkan pesakit biasa di wad ICU terpaksa dipindahkan ke wad biasa, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin.
“Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital juga sudah mencecah hampir 100 peratus sehingga pesakit ICU terpaksa ditempatkan di wad biasa. Peralatan ventilator sebanyak 60 unit kini hanya berbaki lima unit,” katanya di Kota Bharu, hari ini.
Dr Izani berkata, kapasiti setiap Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan fasiliti hospital di Kelantan kini berada pada tahap kritikal berikutan jumlah kes harian pandemik yang mencecah tiga angka sejak dua minggu lepas.
Beliau berkata, enam PKRC sedia ada di negeri itu juga masih tidak mencukupi untuk menampung jumlah pesakit Covid-19.
“Terdapat lebih 2,000 pesakit positif Covid-19 di Kelantan yang dikenakan Perintah Pengasingan di Rumah (HIO) susulan penempatan PKRC tidak mencukupi,” katanya.
Dr Izani berkata memandangkan pesakit yang dikenakan HIO ditempatkan di rumah, kadar kebolehjangkitan (Rt) juga semakin tinggi iaitu satu dalam tiga jangkitan.
“Sebagai contoh, kalau 2,000 pesakit akan mampu berjangkit sampai 6,000 hingga 10,000 jangkitan. Jadi, kes akan menular dengan begitu cepat, “ katanya.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri bersetuju membuka hospital lapangan di tapak Padang Perdana dan satu lagi PKRC di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) yang mampu memuatkan 1,000 pesakit.
“Apabila kita terpaksa membuka hospital medan, ini menunjukkan keadaan di Kelantan semakin kritikal dan pada masa sama, kita terpaksa memohon bantuan daripada kakitangan Kementerian Kesihatan negeri lain,” katanya.