Fasa peralihan endemik: Pasukan pematuhan SOP PDRM belum bubar

Pasukan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan dibubarkan walaupun jumlah anggotanya sudah dikurangkan susulan negara memasuki fasa peralihan ke endemik bermula Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata pasukan pematuhan itu masih ada dan tidak akan dibubarkan sehingga mendapat arahan lanjut kerajaan.

Menurutnya, walaupun negara sudah memasuki fasa peralihan ke endemik, PDRM tetap meneruskan operasi pemantauan pematuhan SOP bagi mengekang penularan Covid-19.

“Pasukan pemantauan pematuhan yang diwujudkan khas bagi tujuan berkenaan juga dikekalkan sehingga arahan lanjut kerajaan.

Operasi Pematuhan SOP akan diteruskan walaupun negara sudah memasuki fasa peralihan ke endemik, operasi akan dijalankan seperti biasa, sama seperti sebelum ini.

“Kita masih ada pasukan pematuhan dan sebagainya dan tidak akan dibubarkan sehinggalah mendapat arahan lanjut daripada pihak kerajaan kelak, namun bilangan kekuatan pasukan sudah dikurangkan,” katanya memetik laporan BH hari ini.

Hazani berkata gerakan pasukan itu kini dipertingkatkan untuk memantau dan menyerbu pusat hiburan yang beroperasi dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat di seluruh negara yang mana kegiatan itu masih tidak dibenarkan.

Hazani berkata, sikap dan displin adalah perkara pokok dalam memastikan segala SOP dalam mencegah penularan wabak Covid-19 terus dipatuhi oleh semua pihak kerana undang-undang sedia ada memadai untuk memastikan semua pihak mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Berapa pun nilai saman atau kompaun dikenakan, namun selagi kita tiada disiplin, selagi itulah kita akan langgar semua SOP dan peraturan yang sudah ditetapkan kerajaan,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 tidak akan dibentangkan ke Parlimen untuk pindaan.

Pada masa ini, Akta 342 memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kesihatan untuk mengenakan denda maksimum RM1,000 terhadap individu yang melanggar SOP ditetapkan, seperti gagal memakai pelitup muka di tempat awam.

Menerusi pindaan dicadangkan Kementerian Kesihatan (KKM), antaranya kompaun maksimum ke atas pesalah individu dinaikkan kepada RM10,000 berbanding RM1,000, manakala bagi sebuah organisasi menjadi RM1 juta maksimum.

Mengulas lanjut Hazani berkata PDRM akur dengan keputusan kerajaan dan akan terus menguatkuasakan operasi pematuhan dalam memastikan orang ramai terus mematuhi SOP.

Katanya tugas PDRM adalah untuk terus memainkan peranannya dalam menguatkuasakan undang-undang sedia ada, termasuklah dalam perihal pematuhan SOP.

Hazani berkata jumlah kompaun harian juga sudah berkurangan kerana kesedaran tinggi dalam kalangan masyarakat untuk mematuhi SOP selain mengamalkan 3W dan mengelakkan 3C.

Konsep 3W merangkumi kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn).

3S pula adalah jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).

BERITA BERKAIT
POPULAR