Fasa endemik tempoh kukuhkan ekonomi

Mulai 1 April ini, Malaysia akan melangkah ke Fasa Peralihan Endemik Covid-19 seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Apabila melangkah ke fasa endemik, terdapat kelonggaran bakal dinikmati rakyat antaranya had waktu beroperasi bagi premis perniagaan dimansuhkan, pendaftaran kemasukan menggunakan MySejahtera dikecualikan di kawasan terbuka, tidak sesak dan tiada perhimpunan orang ramai.

Selain itu, aktiviti solat jemaah di masjid, surau atau rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal, pembukaan sempadan negara dan tiada lagi had kapasiti 50 peratus untuk aktiviti perkumpulan ramai.

Menurut Pensyarah Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Puncak Alam, Kampus Selangor, Dr Mohd Rahim Khamis, setiap kelonggaran diberikan ini sudah semestinya dikaji kerajaan dengan mendalam, terutama menilai kesan baik dan buruknya dalam memastikan kesejahteraan rakyat terjaga.

“Apabila ekonomi negara kembali stabil, maka ia membantu mengukuhkan ekonomi rakyat dalam pasca pandemik. Dengan adanya peralihan fasa ini, mewujudkan kembali pelbagai peluang baharu perniagaan dan penciptaan pekerjaan, khususnya bersifat tetap dan berpendapatan tinggi.

“Keputusan kerajaan ini bukan sahaja dapat membangunkan kembali ekonomi negara tetapi juga mengukuhkan ekonomi rakyat yang terjejas sepanjang pandemik Covis-19,” ujarnya.

Tambah beliau, peralihan fasa ini memberi satu kelegaan kepada rakyat, terutama mereka menjalankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana menurut Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) pemulihan PKS belum kukuh.

Tambah Mohd Faizal Kamarudin yang juga Pensyarah Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Puncak Alam, Kampus Selangor, peralihan fasa ini dijangka berupaya membantu dan menyokong proses pemulihan PKS. Mereka akan mendapat banyak kemudahan perdagangan dan akhirnya perniagaan mereka bertambah baik.

“Ekonomi rakyat juga dijangka bertambah baik, terutama apabila sempadan negara dibuka kelak. Apabila sektor pelancongan negara dibuka kembali, seluruh rantaian nilai sektor pelancongan menerima impak positif.

“Sebagai contoh, mereka yang menjalankan perniagaan makanan dan minuman akan mendapat manfaat lebih besar daripada pembukaan sempadan negara ini,” jelasnya.

Pada masa sama, semua pihak terutama peniaga perlu memainkan peranan masing-masing seperti menguruskan aliran tunai sebaik mungkin kerana perniagaan mampu bertahan ketika pandemik adalah mereka mempunyai aliran tunai mampan.

Dengan keadaan cuaca semakin tidak menentu, peniaga dinasihat menggunakan perlindungan takaful atau insurans untuk melindungi aset perniagaan mereka. Risiko sebegini tidak wajar diabaikan lagi.

Justeru, semua pihak perlu mengangkat agenda fasa peralihan ini untuk membolehkan negara menjadi lebih berdaya saing. Rakyat perlu menyambut baik keputusan kerajaan dan berfikiran realistik bagi memastikan aspek ekonomi, sosial, kesihatan dan keselamatan rakyat terjaga dengan sebaiknya.

BERITA BERKAIT
POPULAR