
Carta Pelan Pemulihan Negara.
Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan dilanjutkan sehingga mencapai nilai ambang kes jangkitan harian bawah 4,000 sebelum ia masuk ke fasa seterusnya, kata Perdana Menteri.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penelitian tiga penanda aras yang digariskan perlu dicapai sebelum peralihan ke fasa seterusnya dan menjelaskan wujud kekeliruan berhubung langkah yang sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini.
“Sekarang mereka kata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dah nak tamat. Saya kata, mulai sekarang kita tak sebut PKP, tapi kita sebut kita berada dalam fasa, sekarang ini fasa pertama (PPN) sampai Julai mungkin pertengahan bulan dan sebagainya.
“Bukan kata 28 Jun tamat PKP, itu silap,” kata beliau hari ini lapor Bernama.
Terdahulu, Muhyiddin melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Sunway Pyramid.
Jelas Perdana Menteri lagi, fasa pertama ini akan terus dilaksanakan sehingga kerajaan mencapai nilai ambang yang ditetapkan, selain meneliti jumlah pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan program vaksinasi yang sedang dijalankan.
“Kita masih di fasa pertama PPN dan akan lanjutkan sehingga cecah nilai ambang bawah 4,000 kes dengan kes di ICU tidak lagi berada pada paras tenat dan vaksinasi ditingkatkan,” katanya.
Dibawah PPN, peralihan dari Fasa 1 sekatan pergerakan penuh hanya akan dilakukan sekiranya tiga sasaran utama tercapai.
Kriteria utama untuk memasuki Fasa 2 adalah kes harian Covid-19 di bawah 4,000; Kapasiti katil ICU berada pada tahap “sederhana”; dan 10 peratus penduduk sudah diberi vaksin sepenuhnya.
Bagaimanapun, purata tujuh hari untuk kes Covid-19 setakat hari ini adalah 5,351, sementara jumlah pesakit di ICU hari ini (866) hampir sama tinggi ketika sekatan penuh mula dilaksanakan pada 1 Jun (872).
Bilangan pesakit Covid-19 yang meninggal dunia pada bulan ini juga seramai 2,088 orang.
Peralihan ke fasa ketiga akan berlangsung selepas purata kes harian tidak lebih 2,000, kapasiti unit rawatan rapi (ICU) mencukupi dan 40 peratus rakyat Malaysia mendapat dos vaksin penuh.
Ia dijangka dapat dicapai pada bulan September.