
Fahmi Fadzil.
Fahmi Fadzil akan berjumpa dengan kumpulan yang menjalankan Dapatan Kaji Selidik Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan kerana dilihat berat sebelah.
Menteri Komunikasi dan Digital itu mempersoalkan kaji selidik yang dikeluarkan tersebut dan akan meneliti motif disebalik hasil kajian 100 hari kerajaan campuran yang dilihat memberi gambaran tidak seimbang.
“Maklum balas yang kami terima daripada pelbagai pakar akademik, rata-rata mempertikaikan metodologi kajian… jika itu pendirian mereka (ahli akademik), maka kita kena lihat motif mereka (kajian).
“Kajian tentang 100 Hari Kerajaan Perpaduan mentadbir, tetapi kita belum capai 100 hari. Saya akan bertemu dengan pihak akhbar tersebut dan dapatkan penjelasan mereka, adakah mereka cuba buat promosi (jenama) atau mahu memperdaya rakyat,” katanya dipetik laporan BH.
Sebelum ini, lima media tempatan menyiarkan dapatan kaji selidik mega Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang dijalankan dari 6 hingga 16 Februari lalu dengan kerjasama sebuah firma penyelidikan.
Kajian itu antaranya mendapati hanya 27 peratus responden berpuas hati dengan prestasi kerajaan dalam menangani isu hubungan antara kaum dan pertumbuhan ekonomi negara, manakala 26 peratus responden berpendapat kerajaan menangani isu bekalan makanan dengan baik.
Dapatan kajian itu juga mendapati ramai orang Melayu khususnya di semenanjung yang tidak berpuas hati dengan pencapaian kerajaan campuran dalam menunaikan janji manifesto mereka.