Fadzlette beritahu dia tak pasti Zahid arah Mazlina urus wang

September 21, 2022 · Isu semasa

Saksi kedua pembelaan kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa dia tidak pasti sama ada saksi pendakwaan ke-90, Mejar Mazlina [email protected] diarah oleh Presiden UMNO itu untuk menguruskan wang, termasuk kad kredit.

Pengarah Media Presiden UMNO, Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran, dalam perbicaraan Zahid terhadap pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan RM31 juta dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Fadzlette telah berkhidmat dengan Zahid selama 11 tahun, bermula dari 2011 ketika dia menjadi pengarah media kepada Zahid yang juga Menteri Pertahanan ketika itu.

Dia kemudiannya bertugas sebagai Setiausaha Akhbar ketika Zahid menjadi Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Perdana Menteri sehingga Mei 2018, sebelum bertukar kepada peranannya sekarang.

Memetik BH, ketika menjawab soalan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, Fadzlette, juga berkata dia tidak mengetahui sama ada Mazlina mendapat kebenaran daripada Zahid untuk membayar kad kredit dan menggunakan cop tandatangannya.

Terdahulu dalam prosiding sebelah pagi, bekas pegawai kanan tentera berpangkat mejar jeneral itu membaca pernyataan saksi yang merujuk Zahid sebagai bos yang pemurah dan tidak suka menunjuk-nunjuk.

Fadzlette juga dilaporkan berkata dia tahu tentang isu-isu kecuaian Mazlina kerana Zahid pernah memaklumkan kepadanya dan mengarahkannya memantau tindakan bekas setiausaha eksekutif Zahid kerana pangkatnya (Fadzlette) lebih tinggi dalam angkatan tentera.

“Saya memaklumkan kepada Mejar Mazlina berkenaan pesanan yang disampaikan oleh Ahmad Zahid itu. Saya pernah meminta Mejar Mazlina untuk menunjukkan penyata-penyata kad kredit dan cek-cek yang disediakan sebelum dibawa untuk ditandatangani oleh Ahmad Zahid.

“Bagaimanapun, Mejar Mazlina sentiasa memberikan pelbagai alasan dan helah serta tidak pernah menunjukkan kepada saya apa yang diminta oleh saya. Perkara ini berterusan dan adakalanya disebabkan tugasan rasmi saya yang berterusan, saya juga terlepas pandang untuk memantau dan mengambil tindakan susulan ke atas Mejar Mazlina berhubung perkara ini,” dakwa Fadzlette.

Bagaimanapun, pada sesi perbicaraan petang tadi Fadzlette diasak bertalu-talu oleh pihak pendakwaan ketika disoal balas.

Pada sesi soal balas Fadzlette ditanya berhubung keterangannya bahawa dia meminta Mazlina menunjukkan kepadanya penyata kad kredit dan cek yang disediakan sebelum dibawa untuk ditandatangani.

Pada peringkat itu, Raja Rozela mencadangkan tugas untuk meminta dokumen terbabit adalah di luar bidang skop kerja Fadzlette yang hanya setiausaha akhbar timbalan perdana menteri ketika itu.

Raja Rozela kemudian mempersoalkan tindakan saksi yang dikatakan tidak boleh menjawab secara khusus, sedangkan dia hanya disoal dengan soalan yang senang.

Peguam bela Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik bangun dan membantah serta mendakwa cara timbalan pendakwa raya bertanyakan soalan adalah menakut-nakutkan saksi.

Bagaimanapun Sequerah membenarkan soalan itu ditanyakan.

Raja Rozela yang memohon maaf mengenai perkara itu sebaliknya, berkata itu adalah cara biasa beliau bertanyakan soalan dan hanya menggunakan suara normalnya sahaja, kemudian meneruskan menyoal soalan kepada saksi.

Raja Rozela: Lain kali saya akan cuba bertutur dengan lebih ‘manis’. Saya minta maaf kalau saya cakap kasar, tetapi datuk tidak menjawab soalan lagi. Setuju atau tidak perkara meminta penyata kad kredit dan cek ini di luar skop kerja datuk?

Fadzlette: Saya hanya mengikut arahan Datuk Seri

Raja Rozela: Saya katakan sebagai setiausaha akhbar, kamu tiada hak berbuat demikian?

Fadzlette: Saya ada hak kerana masih pegawai kanan

Raja Rozela: Sebagai setiausaha akhbar, kamu hanya buat teks ucapan saja, puan. Saya katakan tiada kuasa untuk meminta penyata itu daripada Mazlina?

Fadzlette: Tidak setuju.

Presiden UMNO berusia 69 tahun itu, menghadapi 47 pertuduhan, terdiri daripada 12 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), lapan pertuduhan rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan RM31 juta dana YAB.

Bagi 12 pertuduhan CBT, Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat pembayaran kad kredit peribadi, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, kiriman wang kepada firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, masing-masing membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda.

Perbicaraan di hadapan Sequerah bersambung esok.

Berita berkaitan
UMNO yang tolak dan anggap sebagai musuh dahulu, kata ahli MPT Bersatu
50 minit lalu· Politik
Aneh apabila pembangkang pula tak mahu PRU awal, kata Rahman Dahlan
1 jam lalu· Uncategorized
Hari ketiga perbicaraan kes Ebit Lew, seorang lagi pendakwah dijangka jadi saksi
2 jam lalu· Isu semasa
Anwar beri isyarat tak lawan anak murid di Bagan Datuk
4 jam lalu· Politik
Popular
Hari ketiga perbicaraan kes Ebit Lew, seorang lagi pendakwah dijangka jadi saksi
September 29, 2022
Pakar motivasi nafi cuba rosakkan reputasi Ebit Lew
September 28, 2022
Mahkamah tolak permohonan Shafee gantung prosiding saman LHDN
September 28, 2022
Peguam Najib kata RM60.6j hadiah Saudi, tapi saksi tak dapat sahkan
September 28, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Bajet 2023 kekal fokus bina semula, kukuhkan ekonomi
2 jam lalu · Isu semasa
Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding semalam berbanding dolar
3 jam lalu · Isu semasa
Semakan keperluan pemakaian pelitup muka dalam kapal terbang
3 jam lalu · Isu semasa
2,445 kes semalam, dua kematian
5 jam lalu · Isu semasa
Kerajaan perlu wujudkan mekanisme pantau, nilai pelaksanaan syor MPN
15 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Sampai kiamat pun Guan Eng kata saya menteri gagal, sindir Hishammuddin
September 27, 2022
[VIDEO] PAS komited bersama PN, akan umum hala tuju PRU15
September 27, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok