Exco Selangor langgar SOP semasa Aidilfitri akan dipanggil polis

Siasatan ke atas seorang Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Selangor masih sedang berjalan dan polis akan memanggilnya dalam masa terdekat membantu siasatan dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Exco tersebut didakwa melanggar SOP selepas menganjurkan majlis sambutan hari raya baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata selain exco itu, pihaknya akan turut memanggil kesemua individu yang terdapat di dalam gambar sambutan terbabit seperti yang tular dalam media sosial.

Beliau berkata pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) (No. 4) (Pindaan) (No.16) 2021.

“Setakat ini, kita belum memanggil mana-mana individu dan proses seterusnya dijalankan hari ini tetapi semua individu dalam gambar itu akan dipanggil untuk diambil keterangan termasuk exco tersebut,” katanya dalam sidang media secara dalam talian hari ini.

Baru-baru ini, tular sekeping gambar dalam media sosial yang memaparkan majlis sambutan yang diadakan di rumah wakil rakyat berkenaan di Kuala Langat.

BERITA BERKAIT
POPULAR