
Penasihat Khas (Sains) kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, Prof Madya Dr Mohd Ghows Mohd Azzam, menjawab tuduhan Ahli Exco Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud.
Penasihat Khas (Sains) kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin hari ini menggesa Dr Siti Mariah Mahmud supaya menghubungi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk mendapatkan maklumat berkaitan program imunisasi Covid-19 terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan.
Permintaan itu menunjukkan seolah-olah Siti Mariah sebagai Ahli Exco Selangor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, tidak mencari fakta terlebih dahulu, sebaliknya membuat tuduhan melulu.
Bukan setakat menuduh Kerajaan Pusat ‘mendiskriminasikan Selangor’, Siti Mariah juga menggunakan bahasa yang tidak molek bagi seorang yang berimej Muslim bertudung, apabila malam tadi dia mengatakan hidung Khairy akan panjang jika tidak bercakap benar.
Prof Madya Dr Mohd Ghows Mohd Azzam dalam jawapan balas di Twitter Siti Mariah memberitahu Selangor kini mempunyai sekitar 339,000 dos vaksin Covid-19.
“Salam YB Siti Mariah, anda hanya perlu menghubungi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dan bukannya membuat hantaran di media sosial.
“Dengan Selangor menggunakan 40,000 (dos) sehari, ia (bekalan) cukup untuk sekurang-kurangnya seminggu,” katanya dalam ciapan balas itu.
Dalam satu lagi kiriman untuk makluman Siti Mariah, Dr Mohd Ghows turut memuat naik carta pembekalan dan penghantaran vaksin ke beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh Selangor bermula esok (28 Jun 2021).
Beberapa jam kemudian Naib Presiden AMANAH itu bertanya mengenai benar atau tidak jadual pembekalan itu, selain gagal mencarinya di dalam laman sesawang.
“Ini jadual pembekalan vaksin ke sgor ke? Betul ke sampai as on paper in the past?? If only the govt servants can open their mouths. Btw can u give me the link to this website. Blh saya monitor. Cari tak jumpa,” kata Siti Mariah sambil meletakkan emoji terima kasih kepada Mohd Ghows.
Dr Mohd Ghows turut memuat naik carta kadar suntikan harian di Selangor.
Beliau memaklumkan kadar suntikan harian vaksin di Selangor sekarang tidak lebih daripada 46,000 dan jumlah yang diperuntukkan dapat menampung lebih daripada kadar itu.
“Meningkatkan vaksinasi adalah sesuatu yang kami bincangkan ketika datang ke Selangor untuk membentangkan rancangan mempercepatkan vaksinasi yang akan diselesaikan pada akhir Ogos, kami sentiasa bersedia untuk mempermudahkannya,” katanya.