
Evusheld mengurangkan risiko mendapat gejala Covid-19 sebanyak 77 peratus dalam analisis utama dan sebanyak 83 peratus dalam analisis susulan 6 bulan berbanding dengan plasebo. - Gambar AstraZeneca
Kementerian Kesihatan (KKM) akan memulakan rawatan menggunakan antibodi monoclonal Tixagevimab plus Cilgavimab (Evusheld) dalam usahanya memastikan golongan berisiko tinggi terus mendapat perlindungan daripada jangkitan Covid-19 yang optimum.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kajian menunjukkan bahawa ubat antibodi Evusheld dapat melindungi penerima daripada jangkitan Covid-19 untuk jangka masa enam bulan selepas pemberian suntikan.
“Buat masa ini, ubat antibodi Evusheld ini hanya akan diberikan di hospital kerajaan dan ia boleh digunakan sebagai profilaksis pra-pendedahan atau Preexposure prophylaxis (PrEP) untuk golongan yang belum dijangkiti Covid-19 tetapi berisiko tinggi untuk dijangkiti.
“Penilaian kelayakan pesakit untuk menerima ubat antibodi ini akan dilakukan oleh Pakar Perubatan yang merawat dan kriteria pemilihan pesakit iaitu berumur 12 tahun ke atas, mempunyai berat badan lebih 40 kilogram dan dalam kalangan golongan Immunocompromised sederhana hingga teruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya kaedah pemberian ubat antibodi itu adalah melalui dua suntikan intramuskular yang berasingan bagi dua jenis ubat iaitu Tixagevimab dan Cilgavimab yang diberikan secara berturut-turut.
Katanya bagi pesakit kurang daya tahan imun (immunocompromised) yang telah menerima vaksin Covid-19, Evusheld hendaklah diberikan sekurang-kurangnya dua minggu selepas vaksinasi.
Khairy berkata penilaian kelayakan pesakit untuk menerima ubat antibodi berkenaan akan dilakukan oleh pakar perubatan yang merawat.
Antara kriteria pemilihan pesakit adalah berumur 12 tahun dan ke atas; mempunyai berat badan melebihi 40kg dan dalam kalangan golongan immunocompromised sederhana hingga teruk (mengambil kira tindak balas imun golongan ini terhadap vaksinasi Covid-19 yang berkemungkinan tidak mencapai tahap imuniti yang memuaskan).
Selain itu, kriteria pemilihan termasuk individu yang tidak dapat mengambil vaksin sepenuhnya akibat sebab perubatan atau mempunyai sejarah tindak balas teruk terhadap vaksin Covid-19.
Sementara itu, Khairy berkata KKM akan memperluaskan penggunaan ubat antiviral Paxlovid ke fasiliti kesihatan swasta yang terpilih dalam waktu terdekat.
Beliau sebelum ini pengunaan ubat berkenaan sudah digunakan di fasiliti kesihatan KKM bagi merawat pesakit Covid-19 kategori dua dan tiga, sejak 15 April lalu
Setakat ini, katanya, seramai 1,364 pesakit Covid-19 sudah menerima rawatan menggunakan Paxlovid dan sembuh sepenuhnya tanpa sebarang kesan sampingan teruk.
“Rawatan ini terbukti selamat dan berkesan serta dapat mengurangkan kesan teruk jangkitan dan kadar kematian pesakit Covid-19.
“Justeru, bagi memastikan akses yang lebih baik kepada pesakit, rawatan menggunakan ubat Paxlovid ini akan diperluaskan ke fasiliti kesihatan swasta terpilih dalam waktu yang terdekat.
Khairy berkata KKM percaya dan yakin bahawa Malaysia kini berada dalam landasan yang terbaik untuk melalui Fasa Peralihan ke Endemik dengan berkesan dan selamat susulan ubat-ubatan serta kaedah rawatan yang sentiasa ditambah baik.