EU iktiraf sijil vaksinasi Malaysia

Sijil vaksinasi dan saringan Covid-19 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini diiktiraf Kesatuan Eropah (EU) sekali gus mempermudahkan pergerakan pengembara Malaysia di negara-negara anggota EU.

Keputusan Suruhanjaya EU mengenai pengiktirafan itu berkuat kuasa mulai Isnin, 4 April 2022.

Dalam satu kenyataan di laman sesawang EU, Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula Von Der Leyen berkata bagi membolehkan pengiktirafan itu beroperasi, Malaysia akan disambung kepada kerangka kerja Sijil COVID Digital EU yang ditubuhkan di bawah Peraturan (EU) 2021 /953.

“Sijil vaksinasi dan saringan Covid-19 Malaysia menepati ‘Sistem Pengurusan Vaksin’ kesatuan itu dan dianggap setara dengan yang dikeluarkan mengikut Peraturan (EU) 2021/953,” menurut laporan Bernama.

Bagaimanapun, bagi melindungi kepentingan EU, khususnya dalam bidang kesihatan awam, Suruhanjaya EU boleh menggunakan kuasanya untuk menggantung permohonan keputusan itu atau memansuhkannya, jika syarat Perkara 8(2) Peraturan (EU) 2021/953 tidak lagi dipatuhi.

Malaysia pada 18 November 2021 menyediakan maklumat terperinci kepada Suruhanjaya EU mengenai pengeluaran sijil vaksinasi dan saringan Covid-19 di bawah ‘Sistem Pengurusan Vaksin’.

“Malaysia memaklumkan kepada Suruhanjaya bahawa ia menganggap sijil Covid-19 dikeluarkan mengikut piawaian dan sistem teknologi, yang saling beroperasi dengan kerangka kerja ditetapkan Peraturan (EU) 2021/953 dan membenarkan pengesahan ketulenan, kesahihan dan integriti sijil-sijil itu,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Duta dan Ketua Delegasi EU ke Malaysia Michalis Rokas turut memaklumkan mengenai perkembangan terkini itu di akaun Twitternya.

“Berita baik: EU telah menerima permintaan Malaysia @officialmosti untuk mewujudkan kesetaraan antara Sijil COVID Digital EU dan MySejahtera Malaysia. Merancakkan lagi perniagaan dan pelancongan!,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR