
Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Pengerusi PN Tan Sri Abdul Hadi Awang turut mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tionghua di Malaysia.
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berharap sambutan Tahun Baharu Cina kali ini dapat mengeratkan lagi hubungan sesama kaum yang wujud di negara ini dengan berkonsepkan masyarakat madani.
“Semoga hubungan erat antara semua kaum berkonsepkan masyarakat madani akan terus terpelihara di negara ini,” katanya dalam perutusan kepada masyarakat Tionghua yang menyambut tahun baharu hari ini.
Menurutnya Islam tidak pernah menghalang penganut agama lain untuk beramal dengan agama masing-masing, apatah lagi untuk beramal dengan adat resam seperti Tahun Baharu Cina yang bertujuan menjalinkan hubungan erat antara ahli keluarga dan sanak saudara.
Mengungkap sejarah, Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu berkata umat Islam mempunyai hubungan dengan negara China sejak daripada zaman Rasulullah SAW dan Khulafa’ al-Rasyidin lagi, menerusi perdagangan.
“Maka, Islam sampai ke China seawal datangnya Islam itu. Hal ini dibuktikan dengan kewujudan masjid-masjid yang dibina pada awal kedatangan Islam. Negara China menjalinkan hubungan diplomatik yang baik dengan kerajaan Islam dan tidak berlaku pertembungan antara kerajaan Islam dan kerajaan China.
“Justeru, berasaskan dasar tersebut, hubungan masyarakat majmuk di peringkat dunia ini sepatutnya tidak menimbulkan ketegangan antara kaum,” katanya.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata hasil daripada usaha gigih kerajaan melaksanakan program suntikan vaksin, kini masyarakat Cina dapat menyambut perayaan secara normal seperti sebelum pandemik Covid-19, walaupun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Ini adalah hasil daripada usaha gigih kerajaan memastikan setiap rakyat menerima suntikan vaksin bagi mencegah penularan wabak ini. Program pemberian vaksin secara besar-besar menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan Februari tahun lalu menyaksikan sehingga kini lebih 97 peratus penduduk dewasa sudah menerima dos lengkap.
“Kejayaan program ini membolehkan hampir semua sektor sosial dan ekonomi dibuka sepenuhnya termasuk kebenaran mengadakan majlis-majlis keramaian seperti majlis kahwin dan kenduri-kendara,” kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata pihaknya telah mencadangkan pelbagai langkah termasuk bantuan bersasar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), peluasan pengambilan tenaga kerja asing untuk sektor-sektor ekonomi yang sudah beroperasi serta membuka sempadan negara kepada pelancong luar, terbukti berjaya merancakkan semula aktiviti ekonomi negara.
Bagaimanapun, Muhyiddin menasihatkan semua pihak supaya tidak sesekali lupa atau lalai dengan SOP yang sudah menjadi amalan dan budaya hidup kita selama ini.
“Sentiasalah memakai pelitup muka, jaga jarak fizikal dan elak bersalaman atau bersentuhan,” katanya.