Enam tadika milik pengikut ajaran Asmaul Husna Wan Maseri dipantau

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) sedang memantau enam tadika di negeri itu kerana dikhuatiri mengadakan sesi pembelajaran menyalahi hukum Islam, lapor agensi berita Bernama.

Pengarahnya, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata, pihaknya menerima laporan mendakwa pemilik tadika itu seorang wanita berusia 50-an, adalah antara pengikut ajaran ‘Asmaul Husna Wan Maseri’ yang diwartakan sesat di beberapa negeri sebelum ini.

“Kita menerima laporan ini selepas ada guru yang mengajar di situ hadir ke pejabat JAHEAIK untuk membuat laporan sebaik ajaran itu diwartakan sesat dan meragukan.

“Guru itu mendakwa mereka dipaksa menghadiri sesi motivasi di markas ajaran tersebut di Pulau Mukhlisin dekat Danau To’ Uban, Pasir Mas, dan sekiranya gagal akan berhadapan tindakan termasuk dipecat,” katanya hari ini.

Februari lalu, pengasas ajaran berkenaan Dr Wan Maseri Wan Mohd yang dikatakan menyeleweng daripada amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah tampil mengaku kesalahan dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam atas ajaran mengelirukan yang dibawanya sebelum ini.

Wan Maseri juga secara terbuka melafazkan syahadah bagi memperbaharui keislamannya.